Tasik Pedu akan dibangunkan – MB Kedah


Kuala Nerang, 19 Mei – Kerajaan Negeri Kedah bercadang untuk merangka satu pelan pembangunan di kawasan Tasik Pedu bagi menaiktaraf kawasan berkenaan tanpa menjejaskan alam semula jadi yang terdapat di sekelilingnya.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, Tasik Pedu boleh dibangunkan sebagai pusat destinasi eko-pelancongan kerana mempunyai pelbagai tarikan semula jadi seperti tasik garam yang menjadi tumpuan haiwan liar.

“Ketika ini, banyak syarikat swasta yang menunjukkan minat terhadap cadangan untuk membangunkan kawasan berkenaan, namun pihak kami enggan terburu-buru untuk membangunkannya yang akhirnya boleh menjejaskan keistimewaan alam semula jadi.

“Disebabkan ini, kita akan rangka satu pelan induk pelancongan bagi memastikan sebarang pembangunan dilakukan secara terancang sekaligus mampu mengoptimumkan potensi sedia ada,” katanya kepada pemberita semalam ketika merasmikan majlis kenduri rakyat di Kampung Mani, Padang Terap di sini.

Selain itu, di kawasan tersebut juga mempunyai berpuluh-puluh spesis tumbuhan yang tidak boleh ditemui di tempat lain dan keistimewaan ini menjadi aset yang bernilai untuk negeri Kedah.

Mukhriz menegaskan bahawa pembangunan eko-pelancongan di Tasik Pedu tidak akan melibatkan sebarang aktiviti pembalakan kerana kawasan tersebut merupakan kawasan tadahan hujan. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor