TERKINI: RTM Siarkan Final Piala Thomas secara langsung petang ini..!!!

Stesen televisyen berbayar, ASTRO akhirnya "mengalah" apabila memberikan hak penyiaran final Piala Thomas yang akan berlangsung secara "live" dari New Delhi kepada stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) petang ini.

Ini membawa maksud bahawa RTM akan menyiarkan siaran langsung final Piala Thomas di antara pasukan negara kita, Malaysia, menentang pasukan Jepun, kira-kira jam 5.30 petang ini.

Perkara tersebut turut disahkan oleh Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Norhyati Ismail yang baru saja memaklumkan bahawa perlawanan final tersebut dapat disiarkan secara langsung selepas stesen televisyen berbayar, Astro, bersetuju memberikan hak siaran kepada RTM.

"Saya ingin berterima kasih kepada Astro yang telah membantu bagi membolehkan rakyat Malaysia menyaksikan perlawanan akhir ini secara langsung di RTM," katanya kepada media sebentar tadi.

Sebelum ini Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memohon jasa baik ASTRO untuk memberi hak penyiaran final kejohanan tersebut kepada RTM.

Namun menurut mereka, ASTRO enggan memberi hak penyiaran itu melainkan dibayar sebanyak RM4 juta kepada stesen televisyen itu.

Ekoran itu ramai pihak dan pengamal media sosial bertindak mengkritik tindakan ASTRO itu yang dikatakan tidak mempunyai jiwa nasionalisma, tiada semangat patriotik dan terlalu mementingkan keuntungan syarikat.

Malaysia layak ke perlawanan akhir Piala Thomas selepas 12 tahun dengan menewaskan pasukan Indonesia 3-0 pada separuh akhir semalam. -KedahNews.com