TERKINI: Tiada kenaikan tarif elektrik!

KUALA LUMPUR 20 Mei - Desas-desus mengenai kenaikan tarif elektrik sejak kebelakangan ini dimatikan oleh kenyataan Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Dato' Seri Mahdzir Khalid.

Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lepas, berhubung justifikasi kerajaan membenarkan kenaikan tariff elektrik, tidak bermaksud akan ada kenaikan baru, kata Mahdzir kepada media ketika dihubungi semalam.

Ahli Parlime Padang Terap itu menegaskan bahawa kenyataan Najib sewaktu berucap pada majlis Perhimpunan Warga Kerja TNB bersama Perdana Menteri, merujuk kepada kenaikan bermula Januari lepas yang berlaku pada awal tahun ini (2014).

"Sewaktu berucap, Perdana Menteri merujuk pada (kenaikan pada) 1 Januari 2014, iaitu sesuatu yang telah pun berlaku. Dan beliau (Najib) dalam ucapan itu, turut menjelaskan kenapa tarif itu terpaksa dinaikkan," jelasnya.

Justeru itu katanya, tiada sebarang kenaikan tarif elektrik sebagaimana yang digembar-gemburkan melalui media sosial sebelum ini.

"Buat masa kini, tiada perbincangan mengenai perancangan untuk menaikkan lagi tariff pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pengagihan Elektrik Asia Tenggara di sini hari ini. - KedahNews.com