Tindakan PKR makan diri – Noh Omar


Kuala Selangor, 18 Mei – Tindakan Parti Keadilan Rakyak (PKR) menggantungkan keahlian terhadap ahli parti yang mendedahkan kepincangan yang berlaku di dalam parti berkenaan dianggap memakan diri sendiri.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Selangor, Dato’ Seri Noh Omar berkata, PKR lantang memperjuangkan hak kebebasan untuk bersuara namun tidak berbuat demikian apabila menghukum ahlinya yang mempersoalkan pemilihan parti yang tidak telus.

“PKR sendiri dilihat tidak mengamalkan keterbukaan dalam bersuara kerana mengambil tindakan terhadap anggota yang dilihat tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan yang kini seolah-olah ada dua kumpulan yang berbeza. 

“Padahal mereka selama ini menyalahkan kerajaan Persekutuan mengenai hak kebebasan bersuara seperti tiada undang-undang di negara ini sehingga mahu memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri, “ kata beliau kepada media, semalam.

PKR sebelum ini terus menyalahkan kerajaan pusat dibawah BN kerana tidak bersikap keterbukaan untuk bersuara di kalangan masyarakat umumnya pemimpin PKR sendiri dalam memberikan pendapat mereka dalam pentadbiran negara.

“Di manakah prinsip perjuangan mereka?

“Ini menunjukkan bahawa PKR menipu rakyat dan saya hairan kenapa anggota-anggota parti itu masih tidak nampak perkara ini,” katanya lagi. – KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor