Treler hilang, pemandu berjaya ditahan

Treler dengan muatan baja 44 tan bernilai keseluruhan RM200,000ditemui semula dekat Sungai Limau, Yan.

Sungai Petani, 26 Mei – Kelicikan seorang pemandu treler yang membuat laporan polis mengenai kehilangan kenderaan itu baru-baru ini memakan diri apabila dia turut ditahan dalam satu serbuan yang dilakukan oleh pihak polis di sebuah gudang beras.

Treler yang dipenuhi muatan baja yang di anggarkan berjumlah RM200,000 itu dilaporkan hilang pada 23 Mei yang lepas oleh pemandunya selepas kenderaan itu diletakkan berhampiran kawasan luar kilang pengeluar baja, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) di Gurun.

Baja urea seberat 22 tan dalam muatan treler tersebut sepatutnya dihantar ke projek Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Jerlun sebelum dilaporkan hilang.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, pihaknya mendapat satu laporan mengenai kehilangan treler tersebut pada jam 9.20 pagi hari kejadian dan pihaknya berjaya mengesan kenderaan tersebut di kawasan Sungai Limau, Yan pada jam 8.00 malam hari yang sama.

“Siasatan lanjut pada jam 1.15 pagi (semalam), menemui kesemua muatan baja yang dipercayai telah dijual kepada pihak ketiga disimpan dalam sebuah gudang beras kira-kira lima kilometer dari penemuan treler,” katanya lagi.

Dalam serbuan yang dijalankan polis berjaya menahan pemandu treler bersama seorang lelaki dipercayai pengawal keselamatan kilang yang disyaki bersubahat dalam kejadian itu.

Polis juga telah menahan seorang lelaki yang merupakan pemilik gudang kerana membeli semua baja yang di laporkan hilang itu.


Kes disiasat bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak melebihi dari tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor