Wanita ugut bom dalam pesawat Malindo Air diberkas

Sepang – Wanita yang mencetuskan kekecohan dalam pesawat Malindo Air 0D1622 petang semalam ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret dan Sesyen Sepang, Rozaidi Yaacob, di sini, sebentar tadi.

Wanita berusia 41 tahun yang berasal dari Kuching dan bekerja di Semenanjung itu dalam perjalanan pulang ke kampung atas urusan keluarga.

Dia ditahan semalam selepas memarahi pramugari yang memintanya meletakkan beg yang berada dihujung kakinya di tempat menyimpan barang di bahagian atas dengan mengeluarkan perkataan ugutan malah difahamkan turut menyatakan terdapat bom di dalam pesawat itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu melakukan ugutan jenayah dengan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. – Harian Metro