25 Mahasiswa Kena Tindakan Tatatertib, Suaram Tak Puas Hati

KUALA LUMPUR – Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mendakwa seramai 25 pelajar dikenakan tindakan tatatertib oleh pihak pengurusan universiti sejak 1 Januari lalu kerana terlibat dalam perhimpunan aman.

Penyelarasnya, Syukri Razab mendakwa, seramai 24 pelajar terbabit dituduh di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku).

“Sepanjang enam bulan dalam tahun 2014, 25 orang mahasiswa sudah dikenakan tindakan prosiding tatatertib oleh pihak universiti masing-masing.

“Daripada 25 mahasiswa tersebut, 24 orang dituduh di bawah AUKU dan seorang lagi di tuduh di bawah Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatertib Pelajar-pelajar) 1976 (Akta 174),” dakwanya melalui satu kenyataan hari ini.

Syukri mendakwa, semua mahasiswa itu dikenakan tindakan hanya kerana mereka mempraktikkan hak-hak yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu hak berhimpun secara aman dan bersuara.

Justeru, dakwanya, Suaram berpandangan pindaan AUKU 2012 masih tidak cukup untuk membebaskan pelajar daripada undang-undang restriktif universiti.

Dakwanya,. biarpun peruntukan paling konservatif dalam AUKU sudah dimansuhkan iaitu sekatan terhadap mahasiswa berpolitik dalam Seksyen 15, tetapi masih ada peruntukan lain yang memberi kuasa kepada pengurusan universiti untuk membuat kaedah tatatertib sendiri.

Justeru, katanya, Suaram dan beberapa pelajar universiti akan menyerahkan Memorandum Mansuhkan AUKU dan Akta 174 kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam pada 5 Jun ini. – mynewshub.my