Menyeru supaya UMNO dan PAS terus berpadu dalam memajukan negeri, Mukhriz menegaskan bahawa perpaduan yang dicapai di dalam politik di antara UMNO dan PAS di negeri itu dilihat sangat membantu serta memberi manfaat kepada semua pihak, termasuk golongan bukan Melayu.
"Kita boleh berbeza pandangan dan pendapat, tetapi cara kita berkomunikasi itu penuh dengan tertib dan saling menghormati.
"Pihak pembangkang juga tidak kutuk kerajaan negeri keterlaluan seperti yang berlaku di Sidang Dun Pulau Pinang sehingga ada wakil rakyat yang mengeluarkan kata-kata kesat.
"Kalau ada unsur-unsur untuk menyatukan Umno dan Pas
ada pihak yang bimbang seolah-olah perpaduan itu akan menghakis hak dan
kepentingan orang bukan Melayu. Sebaliknya, Melayu yang majoriti dalam Umno dan Pas
jika bersatu akan memberi manfaat kepada semua," katanya baru-baru ini.
Selain itu, Menteri Besar itu turut memuji konsep 1Malaysia yang dianjurkan Kerajaan Pusat yang dilihat mampu menyemai kembali penyatuan antara kaum di negara ini setelah teruk cuba dirosakkan oleh pihak-pihak tertentu melalui politik kebencian.
Pun begitu, Mukhriz berkata, hasrat perpaduan tersebut mungkin agak sukar terlaksana sekiranya bangsa Melayu yang menjadi tunjang masyarakat berbilang kaum di Malaysia berpecah-belah sesama sendiri.
Justeru itulah, anak mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir itu menggesa agar bangsa Melayu mengembalikan kekuatan bangsa dengan bersatu tanpa mengira fahaman politik masing-masing.
"Mana mungkin rakyat Malaysia boleh bersatu
keseluruhannya jika penduduknya yang majoriti Melayu berpecah belah.
"Pada saya, amalan itu bukan satu kesalahan. Tentunya
kita cuba mewakili kelompok seharian kita. Sebagai contoh, kalau kita dari
kalangan Melayu, tentunya kita akan berjuang untuk kepentingan orang Melayu.
"Begitu juga dengan masyarakat Cina dan India. Ini bukan satu kesalahan. Yang penting ialah bagaimana kita nak menguruskan diri kita dengan pihak lain,” tegasnya lagi. -KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor