"Afiq Nak Tampar Saya? No Komen" -Eina Azman


Petaling Jaya, 3 Jun – Pelakon Eina Azman menegaskan dia tidak mahu memberi apa-apa komen tindak balas berhubung kenyataan bekas kekasihnya yang juga seorang artis iaitu Afiq Muiz dan ibunya, Hasliza Mohd yang dilaporkan mahu menamparnya menurut satu kenyataan yang dikeluarkan satu akhbar baru-baru ini. 

Sebelum ini, Hasliza menerusi laman Twitternnya menafikan laporan yang dikeluarkan oleh akhbar tersebut berhubung kenyataan dia bersama anaknya, Afiq mahu menampar Eina Azman atau nama sebenar pelakon itu Ainur Syakina Azman, 19 , sekiranya mereka bertemu dengannnya.

Menurutnya lagi, kenyataan yang dikeluarkan itu adalah satu fitnah yang ingin menjatuhkan maruah dia dan anaknya.

Dalam pada itu, Eina yang ditemui media tidak mahu mengulas isu berkenaan dengan lebih lanjut tetapi dia juga tidak mampu menolak kesahihan cerita tersebut kerana sebelum ini permusuhan Afiq dan ibunya dikaitkan dengan dirinya sehingga artis lelaki itu di gelar anak derhaka oleh ibunya sebelum ini.

"Sejujurnya saya tidak membaca laporan berkenaan tetapi mengetahui tentang perkara itu daripada orang lain dan saya tidak mahu mengulas mengenainya kerana saya enggan terlibat dalam sebarang kontroversi lagi.

"Saya cuma terfikir sekiranya perkara itu tidak wujud, masakan orang boleh bercerita mengenainya tetapi saya malas hendak layan perkara remeh seperti itu kerana saya tidak melakukan apa-apa kesalahan," jelasnya kepada media ketika dihubungi ahad lalu.

Sementara itu, Eina menafikan yang dia dan Afiq kini bermusuhan dan menjelaskan  kesibukan dalam kerjaya menyebabkan dia dan pelakon itu tidak berhubung seperti dulu tambahan pula pelakon cantik ini menjelaskan yang dirinya sudah mempunyai teman lelaki yang sekaligus menghalang mereka rapat seperti sebelum ini.

"Memang kami tiada apa-apa masalah tetapi saya kini sudah mempunyai teman lelaki dan sudah tentu jika saya masih akrab dengannya kekasih akan salah faham.
"Saya perlu menjaga perasaan teman lelaki dan sebab itu saya sudah lama tidak bertemu dengannya dan bukannya kerana kami bergaduh," jelasnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Eina baru sahaja selesai mempromosikan filem terbaru lakonannya iaitu Zombi Kilang Biskut dan kini sibuk dengan pengambaran drama bersiri Selamat Pengantin Madu untuk slot Zehra di TV3. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor