ALOR SETAR – Seorang pemaju perumahan sanggup membeli semangkuk ais
kepal pada harga RM80,000 untuk disumbangkan kepada Yayasan Sultanah
Bahiyah (YSB) sempena Karnival Amal Hari Penyayang 2014 di pekarangan
Stadium Darul Aman, di sini, semalam.
Ahli perniagaan terbabit yang juga Pengerusi Yayasan Muhibah, Tan Sri
Fng Ah Seng, menyifatkan pembelian dilakukan itu sebagai tanda sokongan
terhadap penubuhan YSB khusus untuk membantu golongan kurang upaya di
negeri ini.
Dia yang ditemui berkata, ais kepal dibelinya itu dari gerai jualan
amal di karnival berkenaan dianggap paling mahal pernah dibeli sejak
lima tahun lalu.
“Saya pernah membeli ais kepal dengan harga RM10,000 pada tahun 2010.
Saya kemudian membeli ais kepal pada harga RM50,000 selama tiga tahun
berturut-turut antara tahun 2011 hingga 2013.
“Namun saya mengambil keputusan untuk membeli ais kepal itu pada
harga RM80,000 tahun ini. Bagi saya nilai semangkuk ais kepal ini bukan
ukuran kerana wang ini akan disalurkan kepada golongan memerlukan,”
katanya.
Menurutnya, sumbangan itu dianggap bermakna buat Yang di-Pertuan Agong
Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah selaku penaung YSB yang banyak
membantu golongan kurang upaya di Kedah.
Terdahulu Tuanku Abdul Halim mencemar duli merasmikan larian bendang disertai kira-kira 1,000 peserta.
Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah; Pengerusi
YSB Tunku Panglima Besar Kedah yang juga Anggota Jemaah Pemangku Sultan
Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim dan Menteri
Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Fng berkata, beliau turut membeli dua daripada 20 barangan dilelong ketika majlis lelongan amal bermula jam 11 pagi semalam.
“Saya berminat membeli sepasang potret milik Tuanku Abdul Halim
bersama Tuanku Hajah Haminah selain lukisan minyak tertera 12 ekor kuda
bernilai keseluruhan RM120,000.
Bagaimanapun lukisan itu diserahkan
kembali kepada yayasan untuk tujuan lelongan amal pada tahun depan.
“Saya tidak kisah apa orang mahu fikir, tetapi niat saya ikhlas hanya
untuk membantu YSB, sekali gus golongan memerlukan di negeri ini,”
katanya.
Dalam majlis lelongan amal itu, sebanyak RM755,000 berjaya
dikumpulkan hasil daripada penjualan 20 barangan membabitkan enam potret
milik Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah, lukisan minyak,
keris dan barangan perhiasan termasuk sebuah meriam tembaga berusia 200
tahun.
Turut dilelong ialah sebentuk cincin batu permata nilam koleksi
peribadi milik Tunku Puteri Intan Safinaz berharga RM20,000 dan suara
meniru bunyi enjin kereta lumba F1 yang dilakukan pelawak terkenal tanah
air Lan Pet Pet bernilai RM5,000. – Harian Metro