Al-Fatihah: AJK Pas Pusat, Abu Bakar Chik Maut Kemalangan

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik meninggal dunia awal pagi tadi. Gambar fail daripada Facebook beliau.

Bukit Besi, Terengganu, 23 Jun – Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dato’ Abu Bakar Chik maut dalam satu kemalangan di Lebuhraya Pantai (LPT) berhampiran Bukit Besi di sini jam 3.15 pagi Isnin.

Ketika kejadian berlaku, Allahyarham bersama pembantunya, Hasmizi Hasan dalam perjalanan pulang selepas melawat Presiden Pas, Dato, Hadi Awang di Kuala Lumpur.

Menurut maklumat awal siasatan, kereta jenis Toyota Camry dinaiki Allahyarham bersama pembantunya telah melanggar sebuah van yang membawa enam orang penumpang.

Kereta Toyota Camry milik Allahyarham dilaporkan telah terbakar sejurus orang ramai berjaya mengeluarkan dia dan pembantunya di lokasi kejadian.

Allahyarham disahkan telah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital manakala pembantunya dilaporkan cedera dan kini dirawat di sebuah hospital.

Abu Bakar merupakan bekas calon naib presiden pada muktamar tahun lalu dan pernah menjawat jawatan ketua Pemuda PAS. Dia juga pernah memegang jawatan sebagai Exco Terengganu pada tahun 1999-2004.

Abu Bakar meninggalkan seorang balu, Zaitun Salleh dan lapan anak.
Jenazah Abu Bakar akan dibawa balik dari Hospital Hulu Terengganu ke Maahad Tahfiz wal Tarbiyah Darul Iman Tok Jiring, Kuala Terengganu untuk disembahyang dan dikebumikan selepas solat Asar hari ini. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor