Alhamdulillah, Rosalinda Tak Akan Seksi Lagi...


Gua Musang, 18 Jun – Penyanyi Dikir Barat, Rosalinda yang telah dikenakan denda oleh Mahkamah Rendah Syariah Gua Musang, Kelantan sebanyak RM1,000 kerana ditahan berpakaian seksi ketika melakukan persembahan berjanji tidak melakukan perkara tersebut pada masa hadapan.

Bagi pengemar lagu Dikir Barat di Kelantan, Rosalinda atau nama sebenarnya, Shahima Edayu Mohd Alwi,23 , tidak perlu diperkenalkan kerana video penyanyi ini banyak dimuatnaik di laman sosial Youtube.

Bagaimanapun, popularity yang diperolehi oleh dirinya bukanlah disebabkan dia memilih lagu berirama dikir barat tetapi penyanyi ini sering tampil dengan pakaian yang seksi dan sering melakukan aksi gelek seperti artis dangdut Indonesia menyebabkan dirinya mempunyai ramai peminat terutamanya di negeri-negeri pantai timur.

Akibat pemakaian yang sangat menjolok mata, dia telah ditahan semasa melakukan satu persembahan nyanyian dikir barat di Ekspo Padang Perumahan Felda Aring Enam, jam 11.50 malam oleh Penguatkuasa Agama Islam Gua Musang pada 7 Mei yang lalu.

Ketika pertuduhan dibacakan oleh Ketua Hakim Mahkamah Syariah, Rosalinda telah mengaku salah dan dikendakan denda sebanyak RM1,000.

Dalam prosiding yang telah dijalankan baru-baru ini, hakim turut menasihatkan Rosalinda yang berasal dari Kemaman, Terengganu supaya menghentikan persembahan yang melampaui batasan agama Islam.

Rosalinda dilaporkan telah membayar denda yang dikenakan dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya itu lagi. KedahNews.com berharap penyanyi ini akan mengotakan janjinya walaupun segelintir peminat mungkin akan kecewa dengan keputusan yang penyanyi ini lakukan. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor