Allahyarham Abu Bakar Chik Sukar Dicari Ganti

Gerakan Islam dan umat Islam kehilangan seorang tokoh dakwah dan pejuang Islam yang sukar dicari ganti dengan pemergian Almarhum Datuk Ustaz Abu Bakar Chik pagi semalam, kata Presiden Majlis Perunding Islam (Mapim) dan Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid.

Sehubungan itu, beliau mewakili seluruh warga Mapim dan Teras menyampaikan takziah kepada ahli keluarga Almarhum berdoa agar roh beliau tergolong dalam kalangan syuhada, salehin dan siddiqin.

"Kami sangat terasa kehilangan beliau lantaran beliau bukan sekadar seorang aktivis Islam malah beliau adalah pemimpin umat.

"Ribuan kader muda yang lahir dari sentuhan asuhan beliau. Beliau telah menunjukkan erti kemurnian pejuangan Islam yang tulen melalui pengalaman pahit manis melalui pelbagai tahap perjuangan," ujar Cikgu Azmi dalam satu kenyataan media.

Menurutnya, sepanjang berinteraksi dengan Almarhum Ustaz Abu Bakar, wataknya sebagai seorang pejuang senior Islam dalam pelbagai situasi sangat terrserlah.

Ustaz Abu Bakar, tambah beliau tidak putus-putus berkongsi pemikiran dan idea meneroka pendekatan Islam dalam pelbagai medan dan bidang dakwah.

"Wawasannya melihat pergolakan Islam di seluruh dunia sangat dinamik dan jelas pembacaannya," jelas Cikgu Azmi.

Beliau menambah, gerakan Islam, medan politik dan badan bukan kerajaan (NGO) tanah air kini kehilangan seorang tokoh yang telah menjadi aset umat.

Cikgu Azmi menyifatkan inisiatif Almarhum untuk melahirkan pelbagai lembaga dan wadah Islam khususnya dalam bidang pendidikan sebagai tidak ada tolok bandingnya.

"Kecerdasan beliau menumpu persoalan pendidkan Islam untuk umat sangat cemerlang. Umat kehilangan aktivis pendidikan Islam yang sangat besar.

"Keghairahannya terhadap pelbagai aspek pembangunan pendidikan Islam menjadi pencetus dan inspirasi mengusahakan pembaikan dan pengukuhan martabat pendidikan umat," tegasnya lagi. -Harakahdaily