Amaran Risiko Terbakar: Honda Panggil Semula 2 Juta Kenderaan


Tokyo, 24 Jun – Pembuat kereta berjenama Honda, Honda Motor dilaporkan telah memanggil semula lebih 2 juta kenderaan di seluruh dunia berhubung kerosakan beg udara yang boleh mengakibatkan kebakaran berlaku pada kereta keluaran mereka.

Menurut sumber dari Honda, tindakan tersebut melibatkan hampir 2.03 juta kenderaan yang telah dikeluarkan antara bulan Ogos 2000 hingga Disember 2005 melibatkan satu juta pemilik dari Amerika Utara dan 668,000 dari Jepun.

Terdapat 13 jenis kereta keluaran Honda dipanggil semula melibatkan model Honda Fit atau Jazz dan Honda Accord.

“Alat pengembung beg udara penumpang hadapan dipasang bersama komponen penujah yang bermasalah.
“Kelemahan pengilangan itu boleh menyebabkan bekas komponen itu pecah semasa kemalangan sekali gus berisiko menyebabkan kebakaran dan kecederaan kepada penumpang,” kata Honda dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, masalah ini telah dihadapi oleh kereta keluaran Toyota yang telah memanggil semula berjuta-juta pemilik kereta di seluruh dunia setelah menerima laporan seorang pemilik kereta di Jepun yang mengadu kerusi di bahagian penumpang hadapan telah terbakar disebabkan masalah itu. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor