Anak Kedah Tawan Greenland Selamat Tiba Di Tanahair

SEPANG – Pelukan dan tangisan kegembiraan ahli keluarga menyemarakkan suasana di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) apabila mereka menyambut ketibaan lapan penjelajah Ekspedisi Felda Greenland 2014 yang kembali ke tanah air hari ini.

Kesemua mereka berjaya menamatkan misi merentasi pulau ais terbesar dunia iaitu Greenland sejauh 540km selama 27 hari bermula dari timur Ammassalik pada 28 April dan berakhir di Kangerlussuaq pada 24 Mei lepas.

Seramai lapan penjelajah ekspedisi berkenaan disambut oleh Penasihat Ekspedisi, Datuk Akmar Hisham Mokhles pada pukul 8.40 pagi.

Mereka terdiri daripada Ketua Penjelajah, Yanizam Mohamad Supiah, 29, Saiful Hisyam Abd Aziz, 25, Mohd Akasyah Jamaludin, 25, Muhammad Irwan Yusuf Abdullah, 34, dan Muhd Hafizuddin Abdul Mutalib, 25.

Baki penjelajah ialah Muhammad Musaddiq Samsudin, 25, dan Abdul Rahman Abu Hassan, 31 dan Tahira Najmunisaa Muhammad Zaid, 25.

Pada sidang media pagi tadi, Yanizam selaku pemimpin keseluruhan kejayaan berkata, tiada perasaan lain selain bersyukur apabila berjaya menjayakan misi dan selamat kembali ke bumi Malaysia.

“Saya memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana telah memudahkan segala perjalanan ekspedisi ini daripada awal sehingga kami semua selamat sampai ke tanah air.

“Sebenarnya saya rasa terkejut juga, dengan sambutan yang diberi.. Terima kasih kepada semua yang memberi sokongan sepanjang ekspedisi ini dijalankan,” katanya.

GreenlandTiba_3

Ketika bercerita antara cabaran yang dilalui beliau berkata mereka semua berhadapan dengan risiko untuk misi negara itu dibatalkan disebabkan masalah kesihatan.

“Masalah kesihatan dia antaranya, buasir dan batuk berdarah tetapi Alhamdulillah semuanya dipermudahkan,” katanya.

Sementara itu Akmar Hisham yang juga Setiausaha Akhar Perdana Menteri berkata, pihaknya gembira kerana kumpulan penjelajah berjaya menjayakan misi itu lebih awal daripada jangkaan asal yakni  selama 35 hari.

“Kita menjangkakan mereka akan menjayakan ekspedisi ini selama 35 hari memandangkan kepada keadaan fizikal mereka yang jauh berbeza dari para penjelajah Eropah yang lebih tinggi dengan langkah yang lebih besar.

“Saya agak terkejut juga apabila mereka berjaya melakukannya dalam masa hanya 27 hari dengan keadaan fizikal yang lebih kecil, kerana purata masa ekspedisi dijayakan oleh penjelajah Eropah ialah 28 hari, mereka berjaya lebih awal,” katanya kepada Mynewshub.my di KLIA pagi tadi.

Daripada lapan penjelajah, hanya seorang ialah wanita iaitu Tahira Najmunisaa dan beliau ditemani suaminya Abdul Rahman yang turut terpilih ke dalam skuad utama.

Dua daripada lapan penjelajah itu juga merupakan anak jati Felda iaitu Yanizam dari Felda Keratong, Pahang dan Shaiful Hisyam dari Felda Gedangsa, Hulu Selangor dan mereka juga merupakan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia.

GreenlandTiba_2

Ekspedisi Felda Greenland 2014 dianjurkan oleh Kelab Eksplorasi Tujuh Benua (KE7B) dan penaja utama ekspedisi ialah Felda dan Kerajaan Negeri Kedah dan Kumpulan RHB turut menaja ekspedisi itu.

Kejayaan ekspedisi itu turut dimuatkan di dalam Malaysia Book Of Records sebagai Kumpulan Pertama Rakyat Malaysia Berjaya Merentasi Greenland.

Mereka juga memahat nama sebagai kumpulan pertama dari negara Asia Tenggara berjaya merentasi pulau berais itu.

Sepanjang perjalanan mereka bergerak menggunakan ski sambil menarik barangan keperluan mereka seberat 70-80kg di dalam sejenis papan luncur dinamakan ‘sledge’.

Antara perjalanan paling lama sepanjang ekspedisi tersebut ialah pada hari terakhir iaitu mereka berjalan kaki selama 15 jam dengan jarak sejauh 25.13km.

Perjalanan pada hari biasa ialah antara 8 hingga 9 jam sehari.

Pergerakan paling jauh sepanjang keseluruhan penjelajahan di Greenland ialah sejauh 32.72km dan yang paling pendek ialah sejauh 7.03km.

Selain itu mereka juga terpaksa mendaki kawasan pergunungan yang mencecah ketinggian 2,516 meter dari paras laut. 

Sumber: MYNEWSHUB.MY