Kuala Lumpur, 24 Jun – Dato’ Seri Mahmud Abu Bekir
Abdul Taib mendedahkan kepada Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur hari ini
bahawa isterinya, Shahnaz Majid sudah tidak mempunyai dara ketika mereka
berkahwin pada tahun 1992.
Anak kepada Gabenor Sarawak itu, Tun Abdul Taib
Mahmud membuat pendedahan itu ketika menjawab soalan daripada peguam bela, Dato
Zainul Rijal Abu Bakar terhadap kewajaran tuntutan mutaah daripada isterinya
bernilai RM100 juta selepas dia memfailkan penceraian mereka pada Mei tahun
2011.
"Selepas beberapa hari perkahwinan
kami pada 9 Januari 1992, semasa di dalam bilik tidur, saya dapati plaintif
bukan anak dara lagi.
"Dia bukan anak
dara masa kami bernikah," kata Abu Bekir kepada mahkamah hari ini.
Abu Bekir dan Shahnaz
yang merupakan kakak kepada penyanyi, Sheila Majid telah berkahwin pada Januari
1992 dan mempunyai seorang anak, Raden Murya yang kin berusia 20 tahun.
Dalam menolak dakwaan Abu Bekir itu,
peguam Shahnaz, Dr Mohd Rafie Mohd Shafie berkata, tindakan Abu Bekir
seolah-olah mahu mengaibkan anak guamnya kerana pendedahan itu dibuat tanpa
sebarang bukti perubatan.
Seorang lagi peguam Shahnaz, Akberdin Abu
Kader berkata, anak guamnya harus diberi peluang untuk mempertahankan diri
daripada dakwaan itu dan bertentangan dengan Seksyen 105 Akta Keterangan.
“Apabila defendan beri keterangan
terhadap plaintif maka plaintif perlu diberi peluang memberikan penjelasan.
“Mana peluang plaintif untuk menjawab?
Ini soal remeh dan cuba aibkan plaintif di peringkat ini. Adakah ini adil?
Mahkamah hendaklah melarang kenyataan bertujuan menghina dan menyinggung yang
tidak wajar,” katanya
Sementara itu, peguam
Abu Bekir berkata, status plantif penting mengikut syarak kerana tuntutan
mutaah membabitkan jumlah RM100 juta.
Zainul Rijjal berkata, sekiranya
Shahnaz mahu mengugurkan dakwaan itu, dia perlu mengangkat sumpah bagi
membuktikan perkara sebenar dan meminta mahkamah meneruskan dakwaan tersebut.
Hakim Muhamad Abdul Karim Wahad
menerima bantahan dari Peguam Shahnaz kerana pendedahan yang dilakukan perlu
menutup aib plantif dan meminta peguam Abu Bekir mengubah bentuk soalan agar
tidak mengambarkan keaiban.
“Tak semestinya diaibkan. Mahkamah
bukan tempat buka keaiban. Bantahan diterima,” katanya yang turut memberi
kebenaran kepada media untuk melaporkan sidang hari ini namun perlu lebih
berhati-hati.
“Sampaikan dalam suasana sopan dan
beradab,” katanya.
Abu Bekir hari ini menarik perhatian
mahkamah tuntutan mutaah RM100 juta yang dikemukakan Shahnaz tidak munasabah.
Katanya, selepas meninggalkan Shahnaz
pada 1999, nafkah seperti wang bulanan, rumah dan kenderaan diberikan sepanjang
tujuh tahun tidak tinggal bersama isterinya.
Dalam pada itu, Hakim telah memutuskan perbicaan
akan disambung semula pada 2 September ini. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor