Tidak dapat dinafikan bahawa Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) dan masjid-masjid di seluruh negara merupakan dua lokasi tumpuan utama umat Islam pada setiap kali tibanya bulan Ramadhan di Malaysia.
Sebagaimana maklum, Jalan TAR merupakan lokasi paling popular bagi seluruh warga ibu kota bagi mencari rezeki khususnya pada bulan yang penuh keberkatan ini. Ia juga menjadi "syurga" bagi aktiviti membeli-belah bagi persiapan Aidilfitri nanti.
Selain Jalan TAR, masjid juga merupakan lokasi wajib bagi setiap umat Islam khususnya ketika waktu berbuka puasa atau selepas solat Isyak bagi menunaikan solat sunat terawikh.
Bagi golongan peniaga, kehadiran bulan Ramadhan menjadi rahmat buat mereka ekoran bulan tersebut mampu memberikan pulangan lumayan, khususnya para peniaga makanan dan minuman bagi persediaan umat Islam berbuka puasa.
Selain itu, para peniaga juga memperagakan pelbagai jenis barangan jualan mereka bagi memudahkan umat Islam bersedia lebih awal sempena menyambut hari raya Aidilfitri menjelang 1 Syawal nanti.
Bagi umat Islam lain, lokasi seperti Jalan TAR dan bazar-bazar Ramadhan merupakan pilihan utama mereka ketika pulang dari kerja untuk mendapatkan juadah berbuka puasa dan membeli kelengkapan hari raya.
Ada yang sanggup meluangkan masa berjam-jam, berbuka puasa di Jalan TAR dan berbuka puasa di sekitar kawasan itu bagi memenuhi kehendak membeli-belah atau sekadar "cuci mata" dengan "hidangan" tudung-tudung terkini, fesyen baju kurung terkini dan sebagainya.
Namun bagi sesetengah umat Islam pula, mereka lebih memilih untuk pulang awal ke rumah masing-masing untuk menyiapkan juadah berbuka puasa sekadar memenuhi ruang perut yang kosong sebelum bersedia ke masjid untuk solat berjemaah dan berterawikh.
Selepas menjamah kurma dan segelas air dingin, mereka bangun menunaikan solat maghrib. Setelah itu, barulah mereka sambung menikmati sedikit nasi bagi mengalas perut sebelum ke masjid untuk solat Isyak, seterusnya menunaikan solat terawikh.
Sekembalinya dari masjid, barulah mereka menjamah makanan lain yang masih berbaki atau menghabiskan masa dengan membaca Al-Quran sebelum masuk tidur awal untuk bersahur nanti.
Apapun hakikat Jalan TAR dan masjid merupakan dua lokasi utama bagi seluruh umat Islam. Ia hanya terpulang pada pilihan masing-masing untuk membahagikan masa untuk memenuhi ruang yang ada di kedua lokasi tersebut.
KedahNews.com mencadangkan agar seluruh umat Islam supaya belajar mengawal nafsu di sepanjang bulan Ramadhan ini, bersesuaian dengan konsep sebenar bulan penuh keberkatan itu.
Selain menunaikan ibadah yang dituntut, anggaplah Ramadhan ini merupakan tempoh sebulan untuk kita menjalani latihan intensif mengawal hawa nafsu setelah kita sering "dilatih" dan cuba dipengaruhi bisikan syaitan pada bulan-bulan lain. - KedahNews.com