Anuar Zain Janji Bergambar Dengan Peminat Setiap Hari..!

Penyanyi kesayangan ramai, Anuar Zain memberitahu sepanjang tempoh percutian ke Jordan selama 7 hari 5 malam pada 13  November sehingga 19 November hadapan, peminat yang mengikuti lawatan berbabit berpeluang mengambil gambar bersama-samanya pada setiap hari.

Ini kerana pihak penganjur telah menyusun jadual yang memuatkan satu jam sesi bergambar bersama peminat  di setiap destinasi yang dilawati.

“Memang tidak dinafikan trip itu bakal disertai oleh ramai peminat sebab mereka sasarkan 250 orang. Tetapi jangan risau setiap peminat berpeluang untuk bergambar dengan saya secara one to one, selain secara berkumpulan.

Ini kerana penganjur telah pun menyusun jadual di mana pada setiap hari akan ada sesi bergambar bersama peminat dalam masa satu jam. Jadi, setiap orang boleh curi peluang untuk merakam gambar bersama saya,” ujar Anuar ketika sidang media bagi mempromosikan pakej percutian ‘Magis Jordan Bersama Anuar Zain’, pada Selasa.

Tambah Anuar lagi, selain berpelaung merakam memori bersamanya, peminat juga bakal dihiburkan dalam satu showcase pada malam terakhir lawatan.

“Satu lagi keistimewaan percutian ini ialah, pada malam terakhir nanti saya akan buat showcase bagi menghiburkan semua yang turut serta. Showcase selama satu jam ini akan diadakan ketika majlis makan malam yang berlatar belakang matahari terbenam di Laut Mati.

Bagi saya, percutian itu nanti merupakan detik bersejarah bagi perjalanan seni saya kerana ini pertama kalinya saya berpeluang bercuti bersama-sama peminat, serta pertama kali juga berkunjung ke Jordan,” ujar Anuar yang sememangnya gemar bercuti mengelilingi dunia.


Mengulas tentang harga pakej yang mencecah RM9,999 dan RM11,999, Anuar berkata harga itu berpatutan kerana peminat atau peserta akan menginap di hotel bertaraf lima bintang serta menaiki koc yang selesa.

“Dengan harga yang dibayar itu, peminat-peminat akan menginap di hotel-hotel bertaraf lima bintang sepanjang tempoh lawatan terbabit. Malah, kita juga akan menaiki kenderaan atau koc yang cukup selesa. Tempat-tempat yang dilawati juga adalah lokasi popular seperti Amman, Petra dan Jerash. Saya percaya, pengalaman percutian ini pasti berbeza,” ujar Anuar lagi.

Sementara itu, Anuar juga tidak menolak perancangan untuk menganjurkan sebuah percutian yang mampu disertai oleh golongan peminat yang berpendapatan sederhana. Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada keadaan.

“Kalau boleh memang saya hendak buat pelbagai aktiviti bersama peminat. Tapi tengoklah macam mana nanti. Perancangan memang ada,” ujar Anuar.

Peminat yang ingin mendapatkan maklumat lanjut tentang pakej percutian ini boleh menjenguk pautan www.facebook.cm/MagicalJordanWithAnuarZain , www.facebook.com/ScenicEvent atau www.facebook.com/anuarzainnetwork.

Sumber: Gua