Puchong, 22 Jun – Ketua Pembangkang,
Dato’ Seri Anwar Ibrahim mahu pemimpin Umno bertanggungjawab dalam
menyelesaikan bayaran ganti rugi berjumlah RM800,000 yang dikenakan terhadap pengendali blog Papagomo.blogspot.com,Wan Muhammad Azri Wan Deris oleh
Mahkamah Tinggi.
Anwar yang ditemui selepas
menyampaikan ceramah bertajuk Asian Renaissance di Puchong berkata, dia tidak
mahu mengulas mengenai pemohonan pengendali blog itu dalam menyelesaikan ganti
rugi kepadanya dan meminta pemimpin Umno bertanggungjawab dalam masalah ini
kerana percaya Wan Muhammad Azri telah ditaja oleh ahli parti itu.
“Jangan tanya saya, Tanya pemimpin
Umno yang taja dia,” katanya semalam.
Sebelum ini, Wan Muhammad Azri
membuat pemohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menangguhkan bayaran
ganti rugi yang perlu dibuat olehnya kepada Anwar kerana dia kini hanya
bekerja sebagai seorang nelayan dan hanya mampu membayar RM100 sebuah kepada Ketua
Pembangkang itu.
Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala
Lumpur menolak pemohonan pengendali blog Papa Gomo itu dan meminta dia
berbincang dengan Anwar sendiri mengenai bayaran ganti rugi yang perlu
dijelaskannya itu.
Pada 28 Februari lalu, Persuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi,
Rosilah Yap telah memerintahkan Wan Muhammad
Azri membayar ganti rugi sebanyak RM800,000 dan kos RM50,000 kepada Anwar
berhubung penyiaran kenyataan fitnah dan meletakkan imej Ketua Pembangkang itu
dalam sebuah video seks di laman blognya.
Daripada keterangan yang dikemukakan
oleh pihak Anwar, Hakim Mahkamah Tinggi mendapati Wan Muhammad Azri memang
terbukti adalah pengendali laman blog Papa Gomo yang menerbitkan kenyataan
memfitnah Ketua Pembangkang itu.
Anwar telah menfailkan saman
terhadap Wan Muhammad Azri pada 21 Mac tahun lalu dengan menuntut ganti rugi
sebanyak RM100 juta kerana mendakwa pengendali blog itu telah menyiarkan empat
siri perkataan fitnah terhadapnya di dalam blog tersebut pada 16,17,19 dan 20
Mac 2013. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor