Artis Persis Bollywood Berkereta "Sport" Ditaja VIP?

Tampil berkereta "sport", mendapat layanan VIP dan digandingkan dengan pelakon kacak sehebat Aaron Aziz membuatkan selebriti jelita, Raja Ilya terdedah dengan gosip dirinya ditaja oleh lelaki dari golongan VIP.

Memiliki raut wajah ala-ala Bollywood dan menerima layanan istimewa, Raja Ilya tidak terlepas dari sangkaan buruk para peminat industri hiburan tempatan yang mengaitkan dia menjalin hubungan intim dengan lelaki kaya.

Memetik dari sebuah laman web hiburan, selebriti itu memaklumkan bahawa dirinya dari awal lagi sudah menjangkakan dirinya akan digosip sedemikian dan ia membuatkan dia langsung tidak peduli dengan cakap-cakap orang itu.

"Memang ada dengar, tapi tak kisah sebab berita itu tak betul. Saya single lagi. Saya tak kesal pun bila keluar cerita macam ni sebab apa yang Ilya buat sekarang ni, saya dah agak akan ada yang cakap saya kena bela," katanya mempertahankan diri.

Raja Ilya menjelaskan bahawa kereta "sport" yang digunakannya itu adalah sebahagian dari keistimewaan yang diperoleh setelah dilantik sebagai duta syarikat KTM Malaysia, sebuah syarikat automotif.

"Saya rasa saya tahu dari mana datang gosip ini, semua selepas saya hadiri Anugerah Bintang Popular. Ramai yang pelik kenapa saya dapat layanan VIP, kenapa saya digandingkan dengan Aaron Aziz, kenapa saya pakai kereta ala formula one KTM, semua jadi persoalan.

"Yang sebenarnya, ia hanya privilege yang saya dapat kerana menjadi duta kepada KTM. Malah, Ilya dapat bawa masuk KTM dalam ABP, jadi siapa yang ada kena-mengena dapatlah layanan sebegitu.

"Ni semua privilege yang Ilya dapat kerana jadi duta produk. Tak rasa apa-apa pun. Dah jadi public figure ni memang banyak cerita pelik-pelik," jelasnya mengenai pertikaian dan gosip yang membabitkan dirinya itu.

Bercakap mengenai perkembangan kariernya dalam industri hiburan, Raja Ilya memaklumkan dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama 200 episod yang berjudul ‘Cinta Ibadah’ dan akan ditayangkan di Astro. -KedahNews.com