Jakim menafikan pengiktirafan halal yang diberikan selepas gambar
yang menjijikan seorang lelaki tanpa baju yang dipercayai sedang
membungkus mihun jenama berkenaan tersebar di laman sosial.
Sehubungan itu, Pengarah Hab Halal Jakim, Hakimah Mohd Yusof
menegaskan, syarikat berkenaan tidak pernah diberikan sijil halal
daripada Jakim seperti yang tertera pada produknya.
"Jakim dengan ini menegaskan bahawa syarikat tersebut bukan
pemegang sijil pengesahan halal Malaysia. Mereka juga tidak pernah
mempunyai sijil halal yang sah daripada Jakim," katanya dalam satu
kenyataan pada Rabu.
Bagaimanapun Hakimah berkata, oleh kerana produk tersebut mengguna logo halal Jakim pada pembungkusan produknya, Jakim akan mengambil tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
"Jakim telah mengambil maklum hal ini dan pihak kami sedang menyiasat lanjut perkara ini," katanya.
Sejak pagi Selasa, beberapa keping gambar menjijikan memaparkan
pengusaha mihun menggunakan lambang 'masjid' tersebar di blog dan laman
sosial.
Ia memaparkan aksi pekerja asing bukan Islam sedang membungkus mihun berkenaan dengan suasana kedai yang kotor dan menjijikan.
Rata-rata pengguna melahirkan kebimbangan mereka terhadap status halal produk berkenaan. -Mstar