Awas Dengan Penyebaran Palsu Di Whatsapp Seperti Ini...

InfoBunuh

Semalam, tersebar di laman aplikasi Whatsapp berkenaan kes pembunuhan tiga orang gadis di dalam belukar di Presint 15, Putrajaya berdekatan Taman Rimba.

Hari ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan bahawa maklumat dan kes berkenaan adalah tidak benar.

Dalam satu kenyataan hari ini, Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat), ACP Datin Asmawati Ahmad berkata hasil semakan polis menunjukkan tiada sebarang maklumat dan laporan polis diterima setakat ini.

“Walaubagaimanapun, orang ramai khususnya mereka yang keluar bersendirian dinasihatkan supaya berhati-hati dan sentiasa berwaspada dengan keadaan sekeliling,” katanya dalam kenyataan itu di laman Facebook PDRM hari ini.

Beliau turut memberi peringatan serius kepada orang ramai untuk tidak membuat sebarang penyebaran maklumat yang tidak sahih dan yang boleh menggugat ketenteraman awam.

“Tindakan penyebaran maklumat tersebut boleh didakwa di bawah Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali,” kata Asmawati.

Dalam mesej ringkas yang disebarkan, ia meminta sesiapa yang tinggal di kawasan Putrajaya supaya berhati-hati kerana kononnya telah berlaku kes bunuh tiga orang gadis di situ.

“Harap korang (anda) tidak berlegar-legar sendirian di kawasan Presint 14, 16 dan 10 kerana suspek masih belum ditangkap.

“Suspek yang masih terlepas dipercayai lebih dari seorang,” kata mesej itu.

Di akhir mesej, disertakan sekali kata-kata untuk memfitnah dan menggugat keselamatan awam apabila ia menyebut kawasan sekitar Putrajaya sudah tidak lagi selamat pada masa ini.