Awie Serik Bekerjasama Dengan KRU Lagi...


Kuala Lumpur, 16 Jun –Penyanyi utama kumpulan Wings, Ahmad Azhar Othman atau Awie meluahkan rasa kesal kerana menjalinkan kerjasama bersama  pihak KRU Music Group dalam menghasilkan album terbaru kumpulan mereka, Menakluk Kosmos apabila syarikat tersebut dilihat seolah-olah langsung tidak mengambil peduli dalam menangani isu cetak yang berlaku terhadap album mereka.

Awie, 46, menganggap ini merupakan kali terakhir kumpulan Wings akan bekerjasama dengan pihak KRU dan mereka enggan menyambung kontrak bersama syarikat tersebut sekiranya diminta untuk berbuat demikian.

"Dulu, saya ditawarkan untuk bekerjasama dengan KRU Studios secara solo, tetapi saya tak nak. Kemudian mereka mengajak Wings pula dan pemain gitar utama kami, Joe bersetuju, dan saya pun ikut sahaja.

"Selepas album siap, kami bersemangat mahu lancarkan album tersebut sebaik-baiknya tetapi malang sekali, majlis dibuat seperti 'melepaskan batuk di tangga'. Malah tiada sebarang poster menunjukkan ia adalah majlis pelancaran kami.

"Sudahlah beberapa lagu dalam Menakluk Kosmos dicetak rompak. Dan apabila meminta penjelasan Norman (Presiden Eksekutif KRU Music) dia hanya memberikan komen menerusi YouTube. Kenapa mesti YouTube? Cukuplah satu album kerjasama kami dengan mereka," katanya.

Pada 20 Mei yang lalu, kumpulan Wings telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Taman Malawati, Hulu Klang apabila beberapa buah lagu daripada album terbaru mereka telah dicetak rompak. Lagu kumpulan tersebut juga boleh didengar melalui aplikasi Spotify dan Deezer oleh pengguna telefon pintar sebelum album tersebut dilancarkan.

Menurut Awie, semua yang berlaku disebabkan kelemahan daripada pihak KRU Music Group yang dilihat seperti tidak serius dalam melancarkan album mereka sedangkan kumpulan Wings merupakan satu kumpulan yang di anggap mempunyai pengikut yang sangat besar di negara ini.

Selain itu, pihak kerajaan juga harus membantu golongan artis dalam membenteras masalah ini kerana apa yang berlaku sekarang hanya golongan pengiat seni sahaja yang berjuang dalam menangani masalah tersebut.
"Isu cetak rompak ini sudah lama dah sampaikan artis-artis sendiri terpaksa terima perkara tersebut dengan rasa sakit hati.

"Saya harap sangat agar pihak kerajaan peka dengan situasi ini dan cuba membanterasnya. Saya percaya setiap masalah ada jalan penyelesaiannya, terpulang pada individu itu sama ada mereka mahu membantu ataupun tidak," ujarnya.-KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor