Sepang, 10 Jun – Sebanyak 121
Jemaah yang terkandas di Madinah semasa menjalankan ibadah umrah telah selamat
tiba di Lapangan Terbang Kuala
Lumpur (KLIA) dengan menaiki pesawat Flynas petang semalam.
Semua jemaah yang tiba jam 6.10
petang semalam meluahkan rasa syukur kerana
mereka selamat pulang ke tanah air selepas mereka terkandas selama lapan
hari akibat ditipu salah satu agensi yang menawarkan pakej murah terhadap para
jemaah.
Salah seorang jemaah, Yanti
Saliza Ibrahim, 34 , berkata dia telah pergi menunaikan umrah bersama empat orang
ahli keluarganya sejak 21 Mei yang lalu.
“Saya mengikuti pakej umrah ini melalui Koperasi Proton,
syarikat adik saya bekerja, saya difahamkan agensi ini telah berurusan dengan
syarikat tersebut sejak tahun yang lepas.
“Keluarga saya mengikuti kursus
umrah ini dan diberitahu ada individu tertentu akan menaja perbelanjaan
selebihnya, “ katanya kepada pemberita ketika di temui di KLIA semalam.
Menurut salah seorang lagi
jemaah, Seripah Tahar, 57, yang berasal daripada Nibong Tebal berkata, dia
tidak berpuas hati dengan pengurusan agensi umrah tersebut kerana bersikap
tidak bertanggungjawab kepada para jemaah yang mengikuti pakej umrah yang di
lakukan oleh pengurusan mereka.
Pihak agensi berkenaan didakwa
langsung tidak menghantar seorang muwatif seperti yang dijanjikan sebelum ini
sejak mereka tiba pada 21 Mei yang lalu.
Sementara itu, para jemaah yang
selamat tiba semalam mengucapkan ribuan terima kasih kepada Biro Kebajikan Umno
kerana menguruskan kepulangan mereka yang terkandas sejak 2 Jun yang lalu.
“Kami terhutang budi kepada Ustaz
Muiz daripada Kedutaan Malaysia di Makkah yang banyak membantu menguruskan
keperluan kami sejak terkandas serta memberitahu perkembangan semasa mengenai
perkara ini,” ujar salah seorang jemaah.
Semua jemaah berharap pihak
kerajaan dapat mengambil tindakan terhadap agensi berkenaan kerana perbuatan
mereka adalah satu tindakan yang sangat tidak
bertanggungjawab.-KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor