Beribadahlah Seolah-Olah Kita Akan Mati Esok

Meneliti perilaku dan corak hidup sesetengah manusia yang menghuni alam fana ini, kita dapati ada antara mereka bertindak seolah-olah tidak akan mati, akan kekal hidup buat selama-lamanya.
Ada antara mereka yang bebas melakukan apa saja sesuka hati. Mereka tidak menghiraukan haram atau halal, baik atau buruk. Hidup mereka seolah-olah berajakan nafsu dan bermenterikan syaitan.
Tak fikir soal dosa, pahala
Soal dosa, pahala, syurga, neraka serta pembalasan di hari akhirat sudah tidak diambil pusing. Mereka sewenang-wenangnya meninggalkan ajaran Islam.
Keadaan ini menjadi lebih buruk lagi apabila mereka didedahkan dengan corak hidup serba moden dan canggih. Pergaulan bebas lelaki dan perempuan menyebabkan berlakunya kelahiran anak luar nikah.
Ini terjadi lantaran berpengaruhnya pendedahan fahaman kebendaan kepada masyarakat kita. Saban hari kita dianjurkan supaya mengejar masa dan hidup dengan berlumba-lumba untuk mengumpul harta kekayaan.
Masa untuk akhirat
Jika dianalisis, sumbangan masa untuk kerja akhirat berbanding kerja dunia amatlah menyedihkan. Purata, setiap orang memerlukan enam jam sehari untuk tidur dan jika seorang pegawai, ia akan menggunakan paling kurang lapan jam sehari untuk bekerja.
Makan, mandi, masa ke pejabat, bersiar-siar dengan keluarga, membaca dan berhibur paling kurang kita memerlukan empat jam lagi. Ini bermakna, telah luput 18 jam kita menggunakan masa dalam sehari untuk kerja keduniaan.
Baki enam jam lagi itu tidak semuanya kita gunakan untuk beramal dan beribadah. Paling banyak kita hanya menggunakan empat jam saja sehari untuk mendampingi Allah SWT.
Jika kita hidup hingga 60 tahun, masa terluang untuk beribadat ialah 50 tahun. Sepuluh tahun pertama hidup, kita dianggap belum baligh. Dalam masa 50 tahun ini, kita hanya menggunakan empat jam atau satu perenam daripada masa sehari untuk beribadah.
Bekalan akhirat
Jadi jumlah masa beribadah untuk tempoh 50 tahun, hanya lapan tahun setengah saja. Yakinkah kita akan memperoleh lapan tahun setengah untuk beribadah? Apakah dalam lapan tahun setengah itu hati kita dapat menumpukan seratus peratus perhatian dan khusyuk.
Oleh itu, beramallah sedaya mungkin seolah-olah kita akan mati esok hari. Tetapi janganlah kita abaikan tugas untuk dunia. Memastikan hidup senang dan bahagia di akhirat, kita perlu menyediakan bekal amal soleh di dunia ini.
Sumber: BH