Bible: Lebih 100 NGO Islam Desak JAIS Jangan Tunduk Arahan MB

Shah Alam - Kira-kira 100 Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam mendesak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) agar tidak tunduk kepada arahan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor yang meminta jabatan itu memulangkan semula 300 naskhah Bible berbahasa Melayu yang dirampas pada Januari lalu.

Pengerusi Pembela-Pembela Islam Malaysia (Pembela), Hafiz Nordin yang mewakili gabungan kira-kira 100 NGO Islam itu menegaskan bahawa naskhah Bible tersebut mengandungi kalimah Allah yang dilarang penggunaannya oleh kaum bukan Islam di negeri ini.

"Tidak perlu dipulangkan kitab Bible yang dirampas itu kerana kitab itu bercanggah dengan titah Sultan Selangor dan fatwa negeri ini yang melarang kaum bukan Islam menggunakan kalimah Allah dalam kegiatan agama mereka," katanya dalam sidang media yang dipetik dari Mstar, semalam.

Menurut peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1988 melarang sama sekali penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam di Selangor dalam apa juga bahasa sama ada Melayu, Inggeris, Cina mahupun Iban. 

Sultan Selangor yang merupakan Ketua Agama Islam negeri sebelum ini supaya semua kaum tidak mengira agama supaya patuh serta akur dengan larangan penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam.

Perintah Sultan Selangor itu juga bertepatan dengan perlaksanan Enakmen Agama Bukan Islam Negeri Selangor (Kawalan Pengembangan di Kalangan Bukan Islam) 1988 yang sepatutny dikuatkuasakan sehingga ke hari ini oleh Kerajaan Negeri itu.

Khamis lepas, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan mengarahkan JAIS memulangkan semua kitab tersebut kepada Persatuan Bible Malaysia (BSM).

Arahan itu dibuat Khalid berdasarkan kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, sebelum ini yang memaklumkan tidak ada sebarang pendakwaan akan dibuat berhubung kes rampasan Bible dan kes itu ditutup.

Abdul Gani juga mendakwa bahawa naskhah Bible yang dirampas itu adalah merupakan himpunan buku Taurat, Zabur dan Injil yang merupakan buku asas penganut agama Kristian.

Selain Pembela, gabungan NGO itu turut diwakili Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim). -KedahNews.com