Baru-baru ini, sebuah media online telah memaparkan kisah seorang bapa yang bertungkus lumus memastikan empat orang anaknya berjaya bergelar seorang doktor sebelum dia sendiri meneruskan pengajian dalam bidang perubatan sehingga berjaya menjadi seorang doktor.
Meskipun agak berusia untuk bergelar seorang doktor, Dr. Chew Eng Khuan, benar-benar membuktikan bahawa dia mampu merealisasikan hasrat untuk melihat kejayaan anak-anaknya terlebih dahulu sebelum dirinya.
Chew dibesarkan di Sungai Petani, Kedah, dan dia diperlihara oleh ibubapa angkat yang merupakan antara imigran yang berhijrah dari Tanah Besar China ke Malaysia serta kurang mementingkan ilmu pendidikan yang tinggi.
Membanggakan dirinya, keempat-empat anaknya Chang Eek, 31, Chang Chuan, 28, Chang Feng, 25, dan Chang Fu, 23, masing-masing di Kedah, Sarawak, Negeri Sembilan dan Rusia, semua bergelar doktor dan Chew sendiri memiliki Ijazah Sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan, Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Biokimia dan Kimia, dan Diploma dalam Pengurusan Latihan.
Lihatlah kejayaan yang dicapai keluarga Chew itu. UtaraNews.com yakin, ramai yang cemburu dan tertanya-tanya apakah "ramuan ampuh" yang digunakan bapa berketurunan Tiong Hua berstatus bukan bumiputera itu.
Sebenarnya, umat Islam sudah lama diberitahu bahawa ilmu itu sangat penting dalam kehidupan kita di mana Allah SWT mengangkat darjat seseorang yang berilmu itu sebagaimana firmanNya di dalam surah Al-Mujadalah, 58:11, yang bermaksud:
"Allah meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan"
Meskipun telah diberitahu mengenai kelebihan berilmu semenjak lebih 1,400 tahun lalu, umat Islam di seluruh dunia, termasuk di Malaysia seolah-olah tidak peduli mengenai kepentingan budaya ilmu yang perlu diterapkan di dalam keluarga masing-masing.
Tidak dinafikan ada sesetengah keluarga Melayu Muslim yang berjaya membudayakan ilmu pengetahuan dan "darjat" mereka diangkat Allah melalui pelbagai kejayaan, namun wujud juga sesetengah ibubapa yang lebih mementingkan harta kekayaan di dalam keluarga mereka.
Peliknya, setiap kali mereka diceritakan tentang kepentingan ilmu, mereka akan memberikan contoh mengenai jutawan-jutawan seperti mendiang Tan Sri Loh Boon Siew yang buta huruf tapi berjaya mengecap kekayaan yang hebat tanpa memiliki tahap pendidikan yang tinggi.
Lebih pelik lagi, mereka selamba mengatakan bahawa kekayaan bersifat material lebih penting berbanding kekayaan ilmu, sekaligus seolah-olah mereka menafikan firman Allah SWT seperti yang tertera di atas.
Mungkin di atas pendirian yang lebih mengutamakan kekayaan harta, maka sesetengah dari kita sanggup bangun awal subuh untuk keluar bekerja dan hanya pulang ke rumah lewat tengah malam untuk mencari kekayaan pulang ke keluarga masing-masing.
Mereka carikan "bibik" untuk membuat kerja di rumah, dan menabur wang ringgit pada anak-anak.
"Bibik" menjadi keperluan untuk menyediakan makanan, mengemas rumah, dan memastikan rumah mereka tidak terabai. Persoalannya, sedar atau tidak, semua tugas tersebut merupakan tanggungjawab yang perlu dipikul "tuan rumah" sendiri, bukan? Namun semuanya diatasi dengan "wang ringgit"...
Anak pula diberi wang saku yang lumayan dengan alasan "untuk makan minum", dibekalkan dengan "note3" atau "Iphone 5S", dibelikan kereta "sport" dan dibenarkan pula untuk diubah suai, serta dari sudut pelajaran pula didaftarkan ke pusat-pusat tiusyen dan sebagainya.
Apa yang tidak disedari ialah mereka sekeluarga jarang bertemu kecuali bersua muka sekali sekala setiap kali bangun tidur, sebelum masuk ke bilik tidur pada lewat malam dan kadangkala kita hanya bersua muka pada cuti hujung minggu sahaja.
Persoalannya, adakah kita sempat untuk memantau pencapaian pelajaran anak-anak? Bagaimana pula dengan masalah-masalah yang mereka hadapi dalam proses pembelajaran mereka? Lebih penting lagi, apakah mereka sempat ajar anak mereka tentang erti realistik kehidupan sebenar?
Lebih malang lagi, dengan pendekatan sebegitu, berkemungkinan besar ibubapa akan mewariskan kepada anak-anak mereka bahawa harta lebih penting dari segalanya, termasuk pelajaran dan ilmu pengetahuan.
Apakah itu tidak menyimpang dari cara kehidupan atau budaya mengikut corak Islam yang sebenar?
Jadi, kenapa pula cemburu pada keluarga Dr. Chew yang berjaya mengaplikasikan budaya kehidupan seorang muslim di dalam keluarganya yang bukan beragama Islam?
Apatah lagi kita sebagai orang Melayu berstatus bumiputera diberi banyak kelebihan oleh kerajaan sedia ada untuk mendapatkan ilmu semaksimum mungkin melalui dasar-dasar yang dilaksanakan selama berpuluh-puluh tahun selepas merdeka.
Kita sering menyalahkan orang lain, tapi apakah kita enggan cermin diri sendiri bermuhasabah di mana dan apakah kesilapan kita dalam kehidupan ini? Wallahu'alam... - UtaraNews.com