Biro Aduan MCA Mohon Maaf Sebar Cerita Palsu "Alat Besarkan Zakar"

Kisah seorang lelaki dari Seri Kembangan yang dikatakan ditipu ‘hidup-hidup’ oleh peniaga alat pembesar zakar heboh diperkatakan semalam,namun berita itu dilaporkan tidak benar sama sekali.

Lelaki itu telah memesan alat pembesar zakar secara dalam talian berharga RM450 namun barangan yang dipesan tidak seperti yang diharapkan kerana apa yang beliau terima hanyalah sebuah kanta pembesar dengan label pesanan,”jangan guna di bawah sinaran matahari”.

Apabila dihubungi, Pengerusi Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong menjelaskan kekhilafan beliau dalam penyebaran berita palsu itu, menyatakan bahawa cerita itu sebenarnya merupakan contoh yang disertakannya dalam satu sidang akhbar Selasa lalu.

Katanya, beliau tidak sedar bahawa berita itu cuma rekaan semata-mata pada awalnya.

“Saya cuma bertindak mengikut kehendak ramai daripada kenalan saya, yang telah menghujani telefon bimbit saya dengan mesej menggesa saya menasihati masyarakat supaya berhati-hati terhadap penipuan itu,” jelas Chong dalam laporan The Star.

“Saya terima banyak aduan mengenai penipuan seperti ini setiap hari. Jika benar berita ini palsu, memang ianya amat kelakar,” tambahnya lagi.

Terang Chong lagi, matlamat utama beliau adalah untuk membantu serta menyedarkan pengguna terhadap hak mereka.

Sebagai ahli biro, Chong berkata beliau menerima aduan daripada pengguna hampir sepanjang masa.

Satu lagi aduan yang meminta bantuan untuk diselesaikan apabila ditipu membayar RM78,000 untuk membeli sebuah skuter air Yamaha tetapi ia tidak dihantar kepada pembeli.

Beliau berkata, seorang lagi pengadu menempah sebuah telefon pintar dengan jenama terkenal, tetapi apabila menerima produk tersebut didapati komponennya bukan dari jenama yang asli.

Seramai 12 mangsa penipuan dalam talian membuat pengaduan kepada Chong sejak 2012.

“Baik lelaki mahupun wanita, kedua-duanya sama sahaja mudah terpengaruh dengan penipuan sebegini.

“Penipu menarik perhatian mangsa dengan menawarkan produk pada harga rendah.

“Selalunya, barang-barang ini tidak pernah diterima oleh para pelanggan, Dalam beberapa kes, pelanggan mendapat produk yang salah,” kata Chong, sambil menambah bahawa salah satu bahayanya membeli produk dalam talian adalah tidak ada cara untuk mengetahui sekiranya barang-barang yang dibeli itu tidak selamat untuk digunakan atau sekiranya ia telah disahkan oleh Sirim.

“Salah seorang daripada pengadu saya sebelum ini membeli periuk memasak secara dalam talian, dan ia meletup selepas beberapa hari digunakan. Dia nyaris maut dalam kejadian itu,” katanya.