Borang "Aduan Rakyat" Bukti Azeez Hargai Rakyat Baling @AzeezPutera @MukhrizMahathir

Baling, 22 Jun - Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim melancarkan borang Aduan Rakyat bagi menyediakan saluran terbaik bagi masyarakat parlimen itu untuk mengajukan sebarang masalah yang dihadapi di kawasan tersebut.

Borang berkenaan yang diperkenalkan buat pertama kali di Parlimen tersebut dijangka bakal menjadi saluran paling berkesan bagi rakyat Baling mengemukakan masalah setempat untuk cuba diselesaikan sebaik mungkin oleh Abdul Azeez.

"Saya harap rakyat Baling akan sudi berkongsi masalah mereka dengan saya dan gunakan borang Aduan Rakyat ini sebagai saluran terbaik untuk sama-sama mentransformasikan Parlimen Baling," katanya pada KedahNews.com di sini hari ini.


Abdul Azeez yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Tabung Haji berkata, beliau sangat memandang tinggi rakyat Baling dan usaha untuk menyelesaikan masalah mereka di kawasan itu merupakan antara cara beliau menunjukkan rasa penghargaannya pada rakyat.

"InsyaAllah, saya mohon kekuatan dari Allah untuk selesaikan sebarang masalah rakyat di sini, mungkin itu cara saya menghargai rakyat Baling," katanya pada Majlis Pelancaran Program Ramadhan Al-Mubarak Peringkat Negeri Kedah yang disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Di majlis berkenaan, Azeez dan Mukhriz sama-sama mengedarkan buah kurma dan air zam-zam kepada ribuan hadirin yang membanjiri Dataran Pekan Baling, hasil sumbangan dari Biro Kebajikan UMNO Malaysia yang diketuai Ahli Parlimen tersebut.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah Exco Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan, Badrul Hisham Hashim.

Azeez pada 16 Jun lalu turut melancarkan Program Ramadhan Al-Mubarak Peringkat Nasional yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya. -KedahNews.com