Sudah agak lama kita tidak mendengar khabar berita mengenai aktor, Azhar Sulaiman, yang pernah popular dan kegilaan para peminat industri hiburan tanahair suatu ketika di zaman 90'an dahulu.
Namun baru-baru ini, nama Azhar Sulaiman tiba-tiba "meletop" kembali di laman Facebook apabila mendakwa anaknya, Andika Ress, telah ditampar seorang guru sebanyak 10 kali.
Dalam status yang dipercayai telah dipadam namun sempat di"capture" oleh Murai.com itu, Azhar dilihat seolah-olah geram dan marah terhadap guru tersebut.
Pelakon itu bertegas akan ke sekolah (SKBD) keesokan hari dan mahu bertemu guru yang menampar anaknya.
Dia turut mengingatkan guru terbabit agar tidak "cuti" dan Azhar tidak teragak-agak untuk mencari guru anaknya itu di rumah sekiranya tidak hadir ke sekolah.
KedahNews.com faham perasaan Azhar sebagai bapa yang prihatin dan mungkin berniat melindungi anaknya dari sebarang ancaman atau kezaliman mana-mana pihak yang berlaku tidak wajar.
Mungkin itu naluri normal seorang bapa yang sayangkan anaknya.
Namun, mungkin Azhar wajar mendekati guru terbabit dan bertanyakan perkara sebenar yang terjadi di antara anaknya dengan guru tersebut.
Bukan apa, agak pelik juga jika guru tersebut menampar anaknya tanpa sebarang alasan dan sekiranya ditampar sebanyak 10 kali, berkemungkinan juga guru tersebut hilang sabar dengan kerenah anaknya.
Persoalannya, apakah yang telah dilakukan Andika hingga menyebabkan dia ditampar berkali-kali begitu? Takkanlah Andika ditampar secara tiba-tiba tanpa alasan munasabah?
Kalau Andika tidak membuat kerja sekolah, mungkin dia layak didenda sebagai pengajaran. Namun tidaklah wajar didenda dengan tamparan yang tidak mendatangkan sebarang kebaikan dalam etika "hendak mengajar".
10 kali ditampar itu mungkin tanda guru itu melepaskan nafsu marahnya dan tidak bermaksud untuk mengajar. Apa sebab guru itu berkelakuan sedemikian?
Kami percaya, Azhar mampu siasat dan selesaikan insiden anaknya dengan guru terbabit dengan baik berbanding mengadu terlebih dahulu pada "wall Facebook" sebelum diketahui kebenaran.
KedahNews.com teringat cerita ketika di zaman persekolahan dahulu di mana kami tidak berani mengadu pada ibubapa jika dipukul guru kerana yakin kami akan lebih teruk dipukul ibubapa kami selepas mengadu!
Nasib baiklah penampar "kokedai" masih belum tercipta di zaman itu.
Mungkin masa beredar, zaman berubah dan budaya tersebut telah berubah di era serba moden ini. Wallahua'alam. -KedahNews.com