Cerita Sebenar Di Sebalik "Kehilangan" Shahir AF


Petaling Jaya - Juara program realiti Akademi Fantasia musim ke-8 (AF8), Shahir menjelaskan kehilangannya dalam industri hiburan hampir dua tahun bukan kerana merajuk, sebaliknya 'bercuti' semata-mata untuk menjaga bapanya yang sakit. 

Shahir atau nama sebenarnya Ahmad Shahir Zawawi, 25, berkata, dia tidak pernah berhasrat untuk bersara daripada dunia nyanyian dan kemunculannya semula pada pertengahan tahun ini adalah bukti dia masih serius untuk meneruskan kerjaya sebagai penyanyi.

"Saya tidak pernah hilang atau merajuk tetapi mengambil 'cuti' bagi menjaga bapa yang sakit di kampung, selain ada beberapa komitmen terhadap keluarga yang perlu diutamakan terlebih dahulu.

"Bidang nyanyian masih menjadi minat saya dan tidak pernah berhasrat untuk berundur sebagai penyanyi," jelasnya kepada mStar Online. 

Dalam pada itu, Shahir berkata, dia tidak pernah menyesal mengambil keputusan untuk mengundurkan diri daripada bidang nyanyian buat sementara waktu kerana keluarga adalah segala-galanya buat dirinya.

"Saya tidak menyesal berundur seketika ketika nama sedang naik tetapi mungkin saya akan kesal sehingga akhir hayat jika tidak mengambil cuti dan menjaga bapa dan sesuatu berlaku kepadanya. 

"Restu keluarga juga amat penting dan tanpa perkara itu apa juga yang saya buat tidak akan memberi sebarang makna," katanya lagi.

Bagaimanapun kata Shahir, keadaan bapanya kini semakin pulih dan atas sebab itu dia mengambil keputusan untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian.

Sementara itu, Shahir berkata, dia bersyukur apabila syarikat pengurusannya, Astro Talent memahami situasinya dan membenarkan dia mengambil cuti dan memberi fokus kepada keluarga.

Malah kata Shahir, Astro Talent sentiasa memberi sokongan kepadanya dan pelbagai agenda disusun pihak pengurusannya selepas dia memberitahu akan kembali aktif dalam bidang seni.

"Alhamdulillah mereka sangat memahami dan tidak pernah timbul isu pihak Astro Talent tidak berpuas hati dengan tindakan saya berundur buat seketika, malah pelbagai perancangan disusun apabila saya mengambil keputusan untuk kembali aktif," katanya. 

Dalam perkembangan lain, Shahir berkata, dia kini sedang sibuk mempromosikan single terbaharunya berjudul Cerita Kita, selain bakal merakamkan album keduanya.

Sumber: Mstar