Demi PAS, DAP Pulau Pinang Setuju Laksana Hudud?

Dalam sebuah forum perdana yang diadakan di Masjid Jamek Seberang Jaya semalam , tokoh-tokoh PAS menyatakan secara terbuka bahawa Hudud patut dilaksanakan tanpa sebarang kompromi di Malaysia biarpun ditentang oleh pemimpin Pakatan.

Forum yang dibarisi oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan Nik Amar Abdullah , Bekas Mufti Perlis Dr Asri Zainal Abidin dan juga Ahli Parlimen PAS Kuala Nerus Dr Khairuddin Amar Ghazali itu di lihat telah memberi tamparan hebat kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang menolak perlaksanaan hudud sebelum ini.

Untuk rekod cadangan untuk membentang draf undang-undang hudud di Parlimen telah di cadangkan oleh PAS Kelantan sebelum ini.Nik Amar selaku Timbalan Menteri merupakan pihak yang paling terkehadapan dalam merealisasikan cadangan tersebut.

Sebelum itu cadangan daripada PAS Kelantan ini turut di sokong oleh pimpinan UMNO dan mereka telah menyatakan kesudian serta menyokong untuk cadangan itu dibentangkan.Namun entah mengapa secara tiba-tiba niat PAS ini seolah-olah terbantut.


Ketegasan yang menjadi keutamaan Nik Amar kemudiannya di lihat sedikit goyah apabila rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat , DAP dan PKR menolak cadangan tersebut.Malahan beberapa pimpinan mereka daripada DAP khususnya secara terang-terangan menolak bahkan mencabar PAS supaya keluar daripada Pakatan Rakyat sekiranya masih berdegil untuk membentangkan cadangan tersebut.

Justeru itu suara-suara tegas dari PAS mulai kendur malah hilang seketika tatkala Pilihanraya Kecil Bukit Gelugor dan Teluk Intan mengambil tempat.

Apakah terdapat arahan supaya cadangan undang-undang hudud ini tidak ditimbulkan buat sementara waktu untuk memastikan calon-calon DAP yang bertanding menang ?

Jika diamati PRK Teluk Intan mungkin boleh dijadikan contoh kerana isu hudud sedikit sebanyak telah menyebabkan Dyana Sofya kalah.

Berdasarkan kepada intipati forum yang diadakan di Masjid Jamek Seberang Jaya itu , para ahli panel jelas sepakat menyatakan bahawa undang-undang hudud harus dilaksanakan di Malaysia tanpa sebarang kompromi.
 
 
Soalnya sejauh mana ketegasan itu mampu dizahirkan di bumi Pulau Pinang , tempat di mana forum dan kata sepakat itu dinyatakan apabila Ketua Menteri Lim Guan Eng sendiri menolak perlaksanaannya ?

PAS sebagai parti yang sering menuding jari kepada kerajaan harus membuktikan cadangan itu bukan sekadar berakhir di pentas-pentas forum sahaja.Mereka bertanggungjawab untuk menunaikan janji itu kerana ia melibatkan prinsip serta integriti pimpinannya.-UtaraNews.com