Selebriti yang pernah mewarnai dunia model majalah lucah "Playboy", Felixia Yeap komited dan berazam untuk memadam semua gambar-gambar koleksi peribadi silam yang terdapat di dalam laman Facebook miliknya.
Felixia yang kini lebih menawan dengan imej bertudung litup, terpaksa mendapatkan bantuan dari pembantu peribadinya untuk memadam gambar-gambar separa bogelnya sebelum Ramadhan menjelma pada hujung bulan ini.
"Saya mengambil keputusan untuk memadam semua gambar seksi itu.
"Saya juga perlu mendapatkan bantuan pembantu peribadi bagi melakukan
tugas terbabit dan menjangkakan semuanya dapat dipadam sebelum Ramadhan
ini," katanya baru-baru ini.
Selain itu, Felixia turut menyindir beberapa peminat yang bertindak biadap meninggalkan komen-komen lucah pada gambar-gambarnya itu dengan menyifatkan mereka seolah-olah "sangat baik dan lebih berkuasa dari Tuhan" yang tidak pernah melakukan kesilapan dalam hidup.
"Apa yang mereka komen pada gambar lama itu mengenai masa silam saya
sebelum berhijab. Saya rasa golongan yang memberikan komen lucah ini
merasakan diri mereka sangat baik dan lebih berkuasa daripada tuhan
serta tidak pernah melakukan kesilapan.
"Saya cuma boleh menyedarkan mereka apa yang mereka buat itu keterlaluan
dan tidak sepatutnya dilakukan kepada saya yang kini sedang mendalami
agama Islam. Mereka perlu ingat bahawa setiap perbuatan kita dinilai
serta dilihat tuhan kerana Dia lebih mengetahui," katanya kesal dengan tindakan segelintir peminat yang tidak bertanggungjawab itu.
Selebriti jelita itu sebelum ini tertekan dengan pelbagai kritikan lucah yang dilemparkan terhadapnya di laman Facebook sehingga menyebabkan dia jatuh sakit.
Felixia sedang belajar mengenal Islam dan dijangka bakal memeluk agama Allah itu sebelum umat Islam mula berpuasa pada Ramadhan ini. -KedahNews.com