Teka-teki mengenai pergolakan rumah tangga Abby Abadi akhirnya terjawab
apabila bekas suami pelakon itu Muhammad Noor Farhan Che Bakar
mendedahkan didera secara fizikal dan emosi semasa mereka bergelar
suami-isteri.
Muhammad Noor Farhan, 24, memberitahu, Abby pertama kali mencederakannya
sekitar Januari lalu dengan membaling kunci motosikal ke wajahnya
sehingga mengakibatkan kesan lebam selepas Abby mendapat tahu dia
memberitahu seorang kenalan mereka sudah tidak mempunyai hubungan.
Dedahnya lagi, Abby sekali lagi bertindak agresif mencakar muka dan
lengan kirinya pada 17 Mei lalu selepas dia enggan berbincang mengenai
kes perceraian mereka yang dilafazkan menerusi khidmat pesanan ringkas
(SMS) yang sedang berjalan di mahkamah.
"Kecederaan fizikal dan emosi menjadi antara sebab utama mengapa saya
menceraikan dia (Abby) dan sudah tawar hati untuk meneruskan perkahwinan
ini yang memberi tekanan kepada saya sepanjang beberapa bulan ini,"
dedahnya kepada mStar Online ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini pada Rabu.
Terdahulu, Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin memutuskan lafaz cerai
menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dibuat Muhammad Noor Farhan
pada 9 Mei lalu terhadap Abby atau nama sebenarnya, Arbaiyah Abd Manan,
37, adalah sah mengikut rukun dan syarak yang ditetapkan.
Dalam pada itu, Muhammad Noor Farhan turut mendedahkan bukti gambar
kesan kecederaannya pada bahagian muka dan lengan kiri akibat dicakar
oleh bekas isterinya itu kepada pihak media.
Malah dia erkenaan memberitahu telah pun membuat satu laporan di Balai
Polis Ampang dekat sini pada hari sama dia dicederakan sebagai salah
satu langkah keselamatan.
"Saya tidak ingin memanjangkan perkara ini dalam mahkamah tetapi sekadar
membuat laporan polis untuk melindungi diri saya sekiranya apa-apa
berlaku.
"Abby juga tahu saya buat laporan polis mengenai kejadian tersebut," ujarnya.
Sementara itu, Muhammad Noor Farhan turut mendedahkan, pergaduhan di
antara mereka sering tercetus apabila Abby tidak mempunyai wang dan
sering mendesaknya sehingga membuatkan dia tertekan dan tidak pulang ke
rumah.
Jelas Farhan, dia kecewa apabila Abby tidak memberi peluang kepadanya
untuk membuktikan diri untuk menjadi seorang suami bertanggungjawab dan
Abby sering mengeluarkan kata-kata menguris perasaan kepadanya dan
menambah tekanan dalam rumah tangga mereka.
"Setiap kali dia tidak mempunyai wang dia akan menyerang dan mendesak
saya sehingga pergaduhan akan tercetus di antara kami malah dia sering
mengatakan saya tidak mendatangkan apa-apa faedah kepadanya.
"Saya tidak pulang ke rumah kerana ingin ruang untuk memperbetulkan
keadaan tetapi sikapnya yang sering memaksa dan mendesak membuatkan saya
tertekan," katanya.
Bagaimanapun, Muhammad Noor Farhan enggan mengulas dakwaan kejadian
berlaku akibat sikap Abby yang mengawal hidupnya sepanjang hampir
setahun perkahwinan mereka.
Dalam perkembangan sama, Muhammad Noor Farhan berkata, dia sudah tidak
mempunyai perasaan sayang terhadap bekas isterinya itu dan tidak melihat
sebarang peluang untuk mereka kembali berbaik.
Malah dia lega apabila kes perceraian tersebut selesai dengan baik
apabila pihak mahkamah mengesahkan lafaz cerai yang dibuatnya menerusi
SMS terhadap Abby.
"Cukuplah... Saya tidak akan rujuk kembali dengan dia kerana dia telah
mencederakan saya dan perasaan sayang sudah tidak ada dalam diri saya,"
jelasnya.
Abby dan Farhan bernikah pada 9 Julai tahun lepas di Selatan Thailand dan mendapat pengesahan di Kelantan.
Pelakon siri Gerak Khas itu sebelum ini pernah melangsungkan perkahwinan dengan pelakon Norman Hakim dan dikurniakan dengan tiga orang cahaya mata.
Sumber: Mstar