Geng Pelajar Perempuan Belasah Rakan Akan Didakwa Di Mahkamah


Kota Samarahan, 5 Jun – Tiga pelajar perempuan tingkatan empat sebuah sekolah di sini yang dipercayai membelasah seorang lagi pelajar perempuan akan didakwa pada hujung bulan ini apabila kes berkenaan  dibawa ke mahkamah untuk pertuduhan.

Sebelum ini, KedahNews.com ada menyiarkan mengenai sebuah video mengenai tindakan sekumpulan pelajar perempuan yang mengelar diri mereka ‘kak yong’ dan ‘gangters’ membelasah seorang pelajar lain sehingga mendatangkan kecederaan kepada remaja berkenaan.
Persuruhjaya Polis Sarawak, Dato’ Muhamad Sabtu Osman berkata, ketiga-tiga pelajar terbabit yang direman sebelum ini telah dibebaskan dan akan dibawa ke mahkamah untuk dikenakan pertuduhan mengikut Seksyen 323, Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan.

Salah seorang daripada mereka yang merupakan tertuduh pertama dikenakan dua pertuduhan termasuk Seksyen 506, kanun sama kerana ugutan jenayah.

"Tertuduh pertama dikenakan dua pertuduhan termasuk Seksyen, 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut akan memukul mangsa sekiranya memberitahu perkara itu kepada keluarga.

"Polis sudah menyiapkan kertas laporan pertuduhan untuk membawa kes ini ke mahkamah bagi membolehkan tindakan lanjut di ambil terhadap mereka. Kes ini dibawa ke mahkamah selepas kami menerima arahan daripada Peguam Kanan Persekutuan Sarawak, Yaacub Chik pagi tadi (semalam)," katanya menerusi khimat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar semalam.
Menteri Kebajikan,Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak, Dato’ Fatimah Abdullah mengesahkan sudah menerima laporan kejadian dan pihaknya telah menghubungi pihak sekolah yang terbabit untuk mengambil tindakan susulan terhadap tindakan pelajar-pelajar tersebut.
“Saya sudah dimaklumkan pengurusan sekolah mengenai insiden ini dan keputusan terakhir bergantung ke sekolah, sama ada membuang atau mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Dalam video yang berdurasi satu minit tujuh belas saat itu, menunjukkan mangsa dikerumuni oleh sekumpulan pelajar perempuan yang dilihat berkata sesuatu yang tidak jelas sebelum bertindak memukul mangsa. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor