Seorang lelaki yang gagal mengawal “nafsu” pelik terhadap lembu
dihukum penjara selepas dia mengancam untuk membunuh sebuah keluarga
yang cuba menghalang berahinya.
David Truscott, 43, dilaporkan berulang kali berguling di kandang
lembu dalam keadaan bogel untuk memuaskan nafsunya di sebuah ladang di
Redruth, Cornwall.
Dalam perbicaraan di Mahkamah Exeter Crown semalam, Truscott dikatakan melakukan aksi tidak senonoh itu selama lapan tahun.
Mahkamah juga diberitahu, Truscott bertindak membalas dendam ke atas
pemilik ladang itu – Clive dan Jackie Roth – apabila mereka menghalang
tindakannya itu.
Dia yang dipenjarakan pada 2005, 2009 dan 2011 atas tindakan yang
dilakukan, berulang kali membakar bangsal, traktor, kandang dan rumput
kering di ladang itu.
Tahun lalu, dia mengaku mengancam untuk membunuh keluarga Roth dan memusnahkan harta benda mereka.
Kini tempoh hukumannya dilanjutkan kepada 10 tahun berikutan laporan pemeriksaan yang dilakukan pakar psikologi ke atasnya.
Hakim Philip Wassall memberitahu, akibat gangguan Truscott bahawa keluarga Roth sentiasa hidup dalam ketakutan.
“Apabila keluarga itu mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghalang
kamu menceroboh ladang mereka, kamu mula melakukan jenayah ini.
“Kamu juga menyatakan tidak kisah dimasukkan ke penjara asalkan dendam kamu terbalas.
“Itu memberi impak buruk kepada keluarga ini dan menyebabkan mereka hidup dalam ketakutan,” katanya.
Wassall juga memberitahu Truscott, dia akan menghabiskan masa lima
tahun pertama di penjara dengan menjalani rawatan di hospital.
Truscott kemudian perlu menyambung tempoh lima tahun lagi di dalam penjara.
Mahkamah juga mengeluarkan perintah yang melarangnya mendekati ladang itu.
Peguam pendakwa, Elanor Purkis berkata defendan mempunyai nafsu pelik terhadap binatang.
Pada September 2009, Truscott dihukum penjara 16 minggu selepas berbogel di kandang lembu bagi memuaskan nafsunya.
Selepas dibebaskan, dia kembali ke ladang itu dan melakukan perkara yang sama, menyebabkan dia dipenjara 20 minggu lagi.
Truscott dipenjara selama dua tahun pada September 2011 selepas polis
menahannya dalam keadaan bogel di ladang itu dan mengganggu keluarga
Roth.
Kali terakhir dia melakukan perkara itu adalah pada Jun tahun lalu. -Agensi