Kuala Lumpur - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menutup kempen Liga
Perdana dengan kekalahan 2-3 di tangan Kedah pada perlawanan terakhir
liga malam tadi, namun keputusan itu tidak mengubah nasib skuad
kendalian Dollah Salleh yang sudah mengesahkan kejuaraan lebih awal.
Perlawanan menentang Kedah di Stadium Majlis Perbandaran Selayang
(MPS) itu sekadar pelengkap jadual buat PDRM yang sudah memastikan
kejuaraan hasil kemenangan ke atas Negeri Sembilan, Jumaat lalu untuk
mengumpul 52 mata yang tidak mampu dipintas pencabar terdekat FELDA
United.
Kejayaan itu cukup manis buat Dollah yang meneruskan sentuhan magis bersama pasukan baru musim ini untuk membawa pulang trofi dan wang tunai RM300,000 serta slot automatik ke Liga Super musim depan.
Dalam perlawanan terakhir liga itu, Kedah yang menduduki tangga
keempat liga dan memburu tempat beraksi dalam Piala Malaysia selesa
mendahului menerusi jaringan Syazwan Zainon pada minit ke-44, Namgung
Woong (m-56) dan Billy Mehmet (m-58).
Namun skuad The Cops tidak berdiam diri sebaliknya cuba bangkit mengejar, namun hanya mampu menyumbat dua gol hasil jaringan penyerang Ali Ashfaq pada minit ke-60 dan Fauzi Majid m-78.
Sementara itu FELDA United yang menamatkan saingan di tangga kedua liga mencatat kemenangan 3-2 ke atas Perlis pada perlawanan terakhir di Stadium Tuanku Syed Putra.
Sebagai ganjaran menduduki tempat kedua, anak buah Irfan Bakti Abu
Salim meraih RM150,000 serta mengiringi PDRM bersaing dalam liga elit
musim depan.
Pulau Pinang pula sekadar seri 2-2 dengan KL SPA namun kedudukan mereka di tangga ketiga tidak tergugat memandangkan jurang mata dengan Kedah dibezakan dengan enam mata.
Sementara itu bekas juara Liga Super, Perlis dan PBAPP FC tersingkir
ke Liga FAM tahun depan apabila terperosok di tangga ke-11 dan 12 Liga
Perdana.
Sumber: MyMetro