Hubungan Lufya - Kerabat DiRaja Johor Musnah Akhirnya...


Petaling Jaya, 2 Jun – Gara-gara sebuah portal media tempatan menyiarkan mengenai perhubungan Lufya bersama seorang kerabat Di Raja Johor perhubungannya bersama putera raja itu dilaporkan telah terputus disebabkan pendedahan tersebut.

Lufya atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar, 29, mengakui dia berasa malu apabila isu kononnya dia bercinta dengan putera raja di perbesar-besarkan sedangkan mereka hanyalah sekadar teman biasa.

Menurutnya lagi, isu itu menyebabkan persahabatannya bersama putera raja itu yang dikenalinya selama 10 tahun yang lalu telah musnah malah mereka tidak lagi berhubung antara satu sama lain sejak perkara tersebut menjadi bualan ramai ketika ini.

"Sayang sekali, isu kononnya saya bercinta dengan kerabat itu membuatkan kami tidak lagi berkawan seperti dulu. Sedangkan saya tidak pernah berkata yang kami menjalinkan hubungan cinta.

"Isu ini juga membuatkan saya malu dengan orang sekeliling menganggap saya berangan mahu menjadi seperti 'cinderella' yang mendapat kekasih seorang putera raja. Sedangkan saya tidak pernah berfikiran begitu," tegasnya yang dihubungi pada Ahad lalu.

Sebelum ini, sebuah akhbar telah melaporkan putera raja yang dikatakan menjalinkan hubungan cinta dengan bekas peserta Akademi Fantasia keenam (AF6) itu ialah Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Iskandar iaitu anakanda kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Bagaimanapun, Tunku Abdul Jalil menafikan perkara tersebut dan memberitahu hanya mengenali Lufya ketika artis berkenaan mengadakan persembahan di Muar, Johor.

Tunku Abdul Jalil menyifatkan kenyataan Lufya itu telah menjatuhkan keluarganya kerana di anggap satu kenyataan palsu yang sengaja mahu mengaitkan namanya.


Lufya yang terkejut dengan kenyataan yang diberikan oleh Tunku Abdul Jalil itu percaya ada pihak sengaja memanipulasi berhubung persahabatan mereka. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor