Hudud: Gerakan Cadang Kaji Supaya Dibenarkan Di Bawah Perlembagaan

Isu hudud yang menjadi pertikaian banyak pihak khususnya oleh bukan Islam selama ini kini mula menunjukkan tanda-tanda penerimaan apabila parti Gerakan di lihat mula memberikan sokongan secara tidak langsung terhadap perlaksanaannya.

Walaupun ia bukanlah dalam bentuk sokongan secara mutlak tetapi sekurang-kurangnya membuktikan sudah ada sedikit kefahaman bahawa isu yang di tentang secara terang-terangan oleh DAP dan sekutunya boleh direalisasikan sekiranya semua pihak berlapang dada untuk berbincang seterusnya menyelesaikannya dengan kaedah dan cara yang lebih profesional.

Setiausaha Agung parti Gerakan , Datuk Liong Teck Meng menegaskan bahawa usaha PAS dan UMNO untuk melaksanakan hukum hudud perlu disokong oleh rakyat beragama Islam di negara ini.Dalam masa yang sama beliau juga menggesa PAS dan UMNO supaya menyelesaikan isu teknikal hudud yang mencetuskan krisis Perlembagaan sebelum meneruskan hasrat tersebut.

"Kami bukan anti Islam tetapi harus dikaji secara teknikal sama ada dua Rang Undang-Undang (RUU) jenayah‎ dibenarkan di bawah satu perlembagaan"

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu membuat kenyataan di lobi parlimen sebagai mengulas kenyataan penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mendesak MCA dan Gerakan supaya memastikan UMNO menolak hudud terlebih dahulu sebelum menyertai Kabinet.

Apa jua yang berlaku keadaan ini membuktikan bahawa dengan usaha yang lebih komprehensif dan niat yang betul ia pasti menjamin sesuatu cadangan itu untuk di terima dengan baik.

Walaupun dalam parti Gerakan sendiri dasar mereka adalah menolak undang-undang hudud namun sikap keterbukaan dan semangat nasionalisme yang mengalir dalam tubuh mereka menyebabkan sikap untuk bertoleransi itu hadir.

Setidak-tidaknya Gerakan di lihat lebih memahami tentang isu hudud sekiranya dibandingkan dengan DAP yang secara terang-terangan menolak sama sekali sebarang usaha untuk melaksanakan hudud.

Jika keadaan ini diamati jelas BN jauh lebih berjaya mewujudkan kefahaman di kalangan rakan komponennya berbanding Pakatan Rakyat.Malahan PAS yang selama ini mendabik dada kononnya akan memberikan kefahaman tentang hudud kepada DAP dan PKR bukan sahaja GAGAL tetapi di tentang pula secara terbuka.

Yang pasti DAP tetap dengan hasutannya apabila mendesak MCA dan Gerakan supaya tidak menerima pelawaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyertai Kabinet selagi UMNO tidak memberi jaminan menghentikan usahanya meneruskan pelaksanaan hudud di peringkat negeri dan Persekutuan. -UtaraNews.com