Kuala Lumpur – Fatwa yang dikeluarkan oleh ulama terkenal dunia, Dr
Yusuf Al-Qaradawi yang mengatakan gelatin haiwan termasuk babi adalah
halal untuk digunakan, termasuk di dalam produk makanan setelah ia
ditransformasikan menjadi bahan yang lain mendapat sanggahan daripada
pendakwah terkenal, Mohd Kazim Elias.
Mohd Kazim berkata, hukum melibatkan makanan haram dan halal
merupakan isu yang besar dan tidak patut diperkecilkan oleh mana-mana
pihak.
“Ni yang terbaru dia kata DNA babi halal dimakan, sebab dah diproses
menjadi lain, dah pening kepala dah, dah keluar dah Facebook dah keluar
dalam tulisan dia dah,” katanya.
Menurutnya lagi, umat Islam harus berpegang teguh kepada ketetapan
Islam yang digariskan oleh mazhab yang selama ini menjadi ikutan kepada
Muslim di negara ini.
“Keempat-empat mazhab Islam berpegang teguh bahawa apa sahaja yang
berkaitan dengan babi tidak boleh dimakan, setiap benda makanan haram
yang masuk dalam badan akan jadi daging.
“Kalau makanan itu makanan haram, nerakalah tempatnya bagi kita,
kalau makanan itu halal maka syurgalah tempatnya untuk kita,” tambahnya.
Beliau dalam pada itu turut menjelaskan bahawa DNA yang terdapat
dalam vaksin yang digunakan terhadap jemaah haji ialah DNA lembu, bukan
DNA babi seperti yang didakwa sesetengah pihak.
“Kalau Majlis Fatwa Perak dapat tahu vaksin DNA babi disuntik ke
dalam badan jemaah haji, sudah lama Majlis Fatwa Perak keluarkan hukum
haram ke atas jemaah haji yang mahu ke Makkah,” tegasnya.