Imej 3 Lelaki Berjubah Di Gunung Jerai Rupanya Pelajar Tahfiz?


Baru-baru ini KedahNews.com ada menyiarkan berita mengenai penemuan tiga makhluk halus yang dipercayai bunian dalam sekeping gambar bersama kakitangan Telekom Malaysia (TM) dimuatnaik melalui aplikasi WhatsApp yang menjadi viral dikalangan pengguna laman sosial.

Dalam gambar yang diambil pada 22 Jun yang lalu, beberapa kakitangan TM yang menjalankan pemeriksaan ke atas pencawang di sana berselfie selepas selesai melakukan tugas dan terkejut apabila mendapati tiga imej lelaki berjubah putih sedang bersembahyang di satu penjuru kawasan.

Akibat daripada penemuan imej tiga lelaki berjubah di dalam gambar ini, ramai dikalangan pengguna laman sosial membuat kesimpulan sendiri mengenai imej yang menyerupai orang bunian.

Walau bagaimanapun, dalam satu akaun Facebook yang menggunakan nama Wujud (Paranormal Team) mendakwa imej yang dikatakan itu berkemungkinan adalah milik beberapa pelajar tahfiz yang sering berkujung di sana.

Menurut sumber yang diperolehi dari penduduk tempatan, kawasan puncak gunung yang dikenali sebagai Padang Pak Syeikh itu sememangnya kerap dikunjungi oleh pelajar-pelajar tahfiz di sana.

tahfiz

Berkemungkinan ketika kakitangan TM merakamkan gambar tersebut, pelajar-pelajar itu turut berada di lokasi berkenaan.

KedahNews.com tidak dapat mengesahkan mengenai laporan ini tetapi yang pasti kewujudan makhluk lain selain manusia adalah benar dan kita sebagai umat Islam harus sentiasa mengingati serta memohon kepada Allah SWT agar dilindungi dari ganguan syaitan yang ingin menyesatkan kita. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor