Putrajaya – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini
berkata beliau berpuas hati dengan barisan Kabinet sedia ada yang tidak
memerlukan beliau untuk mengadakan rombakan besar.
Tambahan pula, katanya, barisan Kabinet beliau hanya dibentuk kira-kira setahun lalu.
“Kabinet sedia ada hanya dibentuk baru saja setahun, kita perlu beri
mereka masa untuk berkhidmat dan kita akan kaji semula jika perlu
apabila tiba masanya,” katanya pada sidang media mengumumkan pelantikan
baharu dalam Kabinet beliau di sini hari ini.
Pelantikan itu melibatkan tiga jawatan menteri dan tiga timbalan
menteri terdiri daripada pemimpin parti komponen Barisan Nasional MCA
dan Gerakan.
Mereka ialah Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai sebagai Menteri
Pengangkutan, Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong dan Timbalan
Presiden MCA Datuk Wee Ka Siong masing-masing sebagai Menteri di Jabatan
Perdana Menteri.
Turut dilantik ialah tiga naib presiden MCA – Datuk Lee Chee Leong
sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk
Chua Tee Yong sebagai Timbalan Menteri Kewangan dan Datin Paduka Chew
Mei Fun sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Dalam kenyataan Najib pada sidang media itu, Yang di-Pertuan Agong
memperkenankan pelantikan Chew sebagai anggota Dewan Negara selama tiga
tahun mulai hari ini.
Najib menjangkakan mereka yang baru dilantik dalam barisan Kabinet
itu akan menjalankan tugas dan tanggungjawab dalam melaksanakan
dasar-dasar kerajaan dengan baik.
“Ini merupakan kerajaan Barisan Nasional, oleh itu walaupun kita
mewakili parti komponen masing-masing, dalam masa yang sama kumpulan
etnik kita juga, tapi jangan lupa kepada tanggungjawab yang lebih besar
lagi iaitu kita secara keseluruhannya ialah sebuah kerajaan BN, jadi
kita perlu mengmbil kira kepentingan semua komuniti,” katanya.
Najib berkata pembesaran Kabinet akan membawa kepada perbincangan
yang lebih bermakna di peringkat Kabinet kerana mereka akan berupaya
mendapat pandangan yang lebih luas dan pelbagai.
Beliau juga mahu memastikan saiz Kabinet tidak akan menjadi masalah dari segi membuat dan melaksanakan sebarang keputusan.
Mengenai operasi mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang
memandangkan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tidak lagi memangku
jawatan menteri pengangkutan, Najib berkata perbincangan akan diadakan
antara Hishammuddin dan Liow mengenai tindakan seterusnya berhubung
MH370.
Sementara itu berhubung kekosongan kerusi timbalan menteri di
Jabatan Perdana Menteri (JPM) berikutan peletakan jawatan P.Waytha
Moorthy, beliau berkata tiada keperluan untuk mengisi kekosongan itu.
Beliau berkata ini kerana terdapat satu Jawatankuasa Kabinet Mengenai
Hal Ehwal kaum India dan semua menteri serta timbalan menteri yang
mewakili kaum India telah diberi tugas dan tangungjawab masing-masing
secara terperinci.
“Satu unit juga telah diwujudkan di JPM untuk membantu dari segi
memantau keputusan dan cadangan baharu kepada pihak kerajaan, jadi
masalah kaum India tetap diberi perhatian berat oleh kerajaan,” katanya.
Mengenai pertambahan timbalan menteri di Kementerian Perdagangan
Antarabangsa dan Industri, Kementerian Kewangan dan Kementerian
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Najib berkata
terdapat keperluan untuk pelantikan itu bagi menangani tugas-tugas
tertentu terutama isu berkaitan kaum.
Misalnya pelantikan Chew sebagai timbalan menteri KPWKM jelas beliau
adalah termasuk untuk berurusan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
yang terdiri daripada kaum Cina.
Pelantikan Chua sebagai Timbalan Menteri Kewangan boleh membantu
berurusan dengan usahawan kecil dan sederhana yang banyak terdiri
daripada kaum Cina, katanya. – BERNAMA