SEMUA orang inginkan kesenangan hidup di dunia ini.
Justeru, semua orang sibuk mencari harta atau kekayaan. Dengan ada kekayaan
segala idaman dan harapan akan mudah diperoleh. Agama juga menggalakkan manusia
mencari kekayaan, supaya dengan kekayaan seseorang tidak perlu mengharapkan
bantuan atau pertolongan orang lain untuk hidup.
Harta diperlukan oleh manusia, tetapi adakah seseorang
itu hidup untuk mencari kekayaan semata-mata? Adakah setiap gerak-geri,
tindakan dan perjalanan hidup kita hanya perlu dihalakan untuk mencari
kekayaan?
Ramai tersilap perhitungan dalam keharusan mencari
kekayaan. Lalu mereka memburu kekayaan sebanyak yang mungkin. Lebih teruk lagi
tanpa mengira halal atau haram, semuanya dibolot dan hendak dikaut.
Tidak cukup dengan wang melimpah ruah, dengan banglo
yang besar, bahkan lebih daripada dua buah rumah. Begitu juga dengan kereta,
diletakkan dua atau tiga buah kereta mewah menghiasi laman, dengan peralatan
rumah pula serba indah.
Anak yang masih muda belia, yang masih belajar sama ada
di institusi pengajian tinggi, mahupun masih di sekolah pula dibekalkan dengan
kereta mewah kerana kekayaan yang ada mampu berbelanja apa saja. Sedangkan
Allah berfirman, bermaksud: "Hai orang beriman! Janganlah harta bendamu
dan anak melalaikan kamu daripada mengingati Allah. Sesiapa yang berbuat
begitu, itulah orang menderita kerugian" (Surah Al-Munafiqun:9)
Walaupun tidak dinafikan kekayaan itu perlu dalam
kehidupan, untuk menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat, maka kita
perlu membuat perancangan atau batasan dalam mengumpul kekayaan itu. Kita
hendaklah membuat sasaran, misalnya, kita ingin mencari kekayaan sehingga
terkumpul wang RM200,000 atau RM500,000.
Apabila mencapai sasaran yang diidamkan, hendaklah kita
berhenti daripada mencari wang atau katakan kita bercita-cita untuk mencari
harta dengan sasaran memiliki dua banglo mewah, tiga kereta mewah, 10 hektar
tanah dan 10 rumah gudang sewaan.
Selepas perkara yang kita cita-citakan itu tercapai,
maka pada masa itu hendaklah berhenti mencari kekayaan. Memadailah dengan kadar
yang ada. Usaha melebihi kadar itu sudah termasuk dalam kategori tamak. Allah
melaknati orang yang tamak.
Perancangan atau membuat batasan dalam mencari harta
kekayaan memang perlu. Hal ini kerana keinginan mencari kekayaan itu sendiri
bersifat infiniti. Jadi, sekiranya tidak membuat batasan, kita tidak tahu di
mana noktah pencarian kita itu, tidak tahu di mana tempat untuk berhenti.
Keadaan ini sangat berbahaya kerana boleh menyebabkan
kita akan terus hanyut dibuai kenikmatan akhirnya membawa kepada kekufuran.
Berhubung dengan hal ini Allah berfirman; "Kehidupan dunia ini hanya
permainan dan kesukaan belaka! Dan kalau kamu beriman dan memelihara diri
daripada kejahatan, Allah akan memberikan pahala kepadamu dan Dia tiada meminta
wang daripadamu." (Surah Muhammad:36)
Sebagai seorang Islam, kita jangan tertipu dengan
kehidupan di dunia yang sementara ini. Kita perlu ingat bahawa kita tidak akan
selamanya hidup di alam fana ini. Jika panjang sekalipun umur kita di dunia
ini, belum tentu boleh mencecah 100 tahun. Tidak dinafikan ada mereka yang
mempunyai jangka hayat sehingga 100 tahun, tetapi siapa yang boleh membuat
jaminan?
Dalam dunia moden hari ini, pelbagai penyakit boleh
menyerang manusia. Sesetengahnya pada usia muda sudah meninggal dunia.
Menginsafi umur atau hayat kita yang tidak lama ini,
maka perlu setiap kita mempunyai wawasan untuk hari depan, berupa perancangan
rapi untuk mengharungi hidup di dunia baru nanti iaitu alam akhirat, destinasi
yang kekal abadi.
Sudahkah kita mempunyai bekalan amalan atau sudahkah
kita laburkan wang untuk membeli saham akhirat?
Jika sekarang ini kita kaya-raya, tentunya kita ingin
menjadi 'orang kaya' di akhirat. Janatul Firdaus satu-satunya tempat eksklusif
yang di dalamnya penuh kenikmatan atau tiada tolok bandingannya dengan apa yang
ada di dunia ini.
Janganlah kita leka dan terlena di dunia hari ini, di
akhirat nanti baru terjaga. Pada masa hidup di dunia ini, kita hendaklah
memanfaatkan harta yang dimiliki untuk jalan yang diredai-Nya, supaya kita beroleh
penginapan eksklusif itu. Kalau tidak, menyesal kemudian hari, seperti firman
Allah "Belanjakan (di jalan kebaikan) sebahagian rezeki kamu, sebelum
kematian datang kepada seseorang antaramu, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku!
Mengapa Engkau tidak berikan kepadaku sedikit tempoh barang sedikit waktu,
supaya aku memberikan sedekah, supaya aku termasuk dalam golongan orang yang
mengerjakan perbuatan baik?" (Surah l-Munafiqun: Ayat 10)
Justeru, jadikanlah diri seorang hamba sentiasa
bertakwa dan berkualiti.
Sumber: Berita Harian