Tarikh dan masa melihat anak bulan Ramadan untuk menetapkan permulaan
puasa ialah pada petang Jumaat ini, 27 Jun bersamaan 29 Syaaban.
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataan hari ini
berkata, Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan
tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan rukyah (melihat anak bulan)
dan hisab (pengiraan secara matematik dan astronomi).
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh permulaan Puasa melalui radio dan televisyen.
Menurut pejabat itu, jawatankuasa-jawatankuasa yang berkenaan akan
melihat anak bulan Ramadan di Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak
Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka; Telok Kemang,
Port Dickson, Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Kuala Selangor,
Selangor; Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat, Selangor dan Balai Cerap
Selangor, Sabak Bernam di Selangor; Pantai Pasir Panjang, Mukim
Pengkalan Baru, Manjong, Perak dan Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai
Aceh, Pulau Pinang.
Lokasi lain ialah Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah,
Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar di Kedah; Bukit Besar, Kuala
Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut dan Balai
Cerap KUSZA, Mukim Merang, Setiu di Terengganu; Bukit Peraksi, Pasir
Puteh; Bukit Kampung Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala
Krai dan Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putera Semerak, Kota Baharu
di Kelantan.
Tempat lain pula ialah di Tanjong Lubang, Miri; Teluk Bandung,
Kuching dan Tanjung Batu, Bintulu di Sarawak; Balai Cerap Al-Biruni,
Tanjung Dumpil, Putatan, Sabah; Bukit Tanjung Batu, Nenasi; Gunung
Berincang, Cameron Highlands dan Bukit Pelindong, Kuantan di Pahang;
Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa
Labuan, Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan
Kuala Sungai Baru, Simpang Empat, Perlis.