Suami kepada Fasha Sandha iaitu Rizal
Ashram Ramli buat pertama kali membuat kenyataan di Instagram memohon kepada
orang ramai supaya tidak lagi menyakitkan hati isterinya selain membandingkan
aktres itu dengan bekas isterinya Nora Danish.
Rizal atau lebih mesra dengan panggilan Jejai berkata,
tuduhan demi tuduhan yang dilemparkan kepada Fasha membuatkan dia terpaksa
membuka mulut bahawa perceraiannya dengan Nora Danish enam tahun lalu langsung
tiada kaitan dengan Fasha.
"Saya akui, pada masa itu, sayalah punca
perceraian itu, bukannya Fasha.
"Ianya telah ditentukan dan telah terjadi, tiada
apa yang boleh dilakukan lagi. Saya berharap sangat semua ini berhenti di sini
sahaja dan tolong jangan panjangkan perkara ini," katanya dalam Instagram
miliknya yang dimuatr naik pada Khamis.
Pada Selasa lalu, Fasha telah menegur segelintir
pengikut Instagram miliknya yang memberi pelbagai komen apabila dia tidak
memuat naik gambarnya bersama mertua berbanding Nora yang memuat naik pelbagai
foto dengan keluarga itu pada acara Kuala Lumpur Fesyen Week 2014 yang
berlangsung baru-baru ini.
Perkara tersebut membuatkan Fasha mempersoalkan kenapa
dia dibandingkan dengan Nora selain berasa terluka dengan komen-komen
berkenaan.
Tidak tahan melihat pelbagai komen negatif yang
dilemparkan kepada Fasha, Jejai mengambil langkah menjelaskan situasi sebenar
yang terjadi antaranya, Fasha dan Nora menerusi satu komen yang ditulis di
Instagram milik isterinya itu.
Sementara itu, Jejai juga berkata, dia faham apabila
situasinya bercerai dengan Nora dan kemudiannya berkahwin dengan Fasha
membuatkan Fasha dilihat sebagai perosak rumah tangganya sebelum ini.
Dalam pada itu Jejai memahami situasi Fasha sehingga
terpaksa menegur salah seorang pengikut laman Instagram miliknya dan menganggap
Fasha ada hak berbuat demikian.
"Dia yang menanggung segala tuduhan selama ini dan
bersabar. Tetapi kesabarannya juga ada had. Harapan saya kepada para pengikut
(Instagram) semua agar tidak membandingkan Fasha dan Nora serta tidak
mengaibkan mereka berdua. Saya memohon maaf kepada semua kerana disebabkan
sayalah punca semua ini terjadi," ujarnya.
Jejai dan Fasha telah mendirikan rumah tangga pada 27
April 2012. Terdahulu Jejai telah bercerai dengan Nora pada 10 Julai 2008
selepas dua tahun berkahwin.
Sumber: Mstar