Menamatkan spekulasi liar yang melanda dirinya, Pengacara dan pelakon terkenal, Jimmy Shanley akhirnya mengakhiri zaman dudanya apabila dilaporkan bernikah untuk kali kedua dengan seorang gadis, Mariam Jamilah Abdul Jalil, di Shah Alam baru-baru ini.
Jimmy sebelum ini dikatakan bercinta dengan seorang wanita berstatus janda dan gosip tersebut diakui pengacara itu agak mengganggu hubungannya dengan Mariam yang ketika itu di dalam proses saling mengenal antara satu sama lain.
"Alhamdullillah, perkahwinan ini menepis khabar angin sebelum ini tentang saya berkahwin atau bercinta dengan janda.
"Isteri saya ini bukan janda dan ini perkahwinan pertamanya. Saya tahu ada orang sebarkan fitnah tentang saya berkahwin dengan seorang wanita berstatus janda kerana mereka tersilap orang.
"Ketika khabar angin itu tersebar saya sudah berkawan dengan dia dan saya bimbang juga tanggapan dia kepada saya," katanya semalam, yang dipetik dari Mstar.
Dinikahkan oleh Tuan Haji Nurul Hisham di Hotel Concorde, Shah Alam, pasangan yang kini sah sebagai suami isteri itu berbalas hantaran dengan pengantin lelaki membawa 5 dulang hantaran dan menerima 7 dulang hantaran dari pihak pengantin perempuan.
Antara barang-barang hantaran tersebut adalah seperti jam tangan G-Shock dan tali pinggang
Louis Vuitton, wangian Armani Mania, sepasang kasut Louis Vuitton,
jubah, set kemeja Dolce & Gabana dan sirih junjung.
KedahNews.com mengucapkan tahniah kepada pasangan suami isteri yang sama cantik sama padan ini dan semoga berkekalan sehingga ke anak cucu.
Berikut adalah beberapa keping gambar perkahwinan Jimmy Shanley - Mariam Jamilah yang dipetik dari laman hiburan, Rotikaya,untuk tatapan para peminat. -KedahNews.com