Kakitangan FMT letak jawatan beramai-ramai?


Kuala Lumpur, 3 Jun- Portal berita dalam talian, Free Malaysia Today (FMT) dilanda masalah dalaman apabila ramai kakitangannya termasuk Ketua pengarangnya mengambil keputusan untuk meletak jawatan.

Menurut sumber dalaman yang diterima, kebanyakan kakitangan yang setia kepada syarikat tersebut membuat keputusan untuk berhenti dan menyerahkan surat perletakan jawatan pada jumaat lalu.

"Empat editor termasuk ketua pengarang kami K. Kabilan, lima wartawan, dua kakitangan teknologi dan juruvideo telah meletak jawatan," kata sumber.

Sumber berkata, laporan perletakan jawatan secara beramai-ramai itu berlaku berpunca daripada masalah dalaman antara pihak editorial dengan pengurusan syarikat tersebut.

Beberapa kakitangan FMT mengesahkan dakwaan syarikat tersebut tidak membuat caruman kepada Kumpulan Wang Pekerja (KWSP) untuk mereka sejak beberapa bulan yang lalu.

Salah seorang bekas kakitangan FMT akan membuat aduan kepada KWSP terhadap kegagalan syarikat berkenaan membuat caruman kepada mereka yang bekerja di syarikat tersebut.


Jelas sumber lagi, satu sidang media akan dibuat selepas laporan dibuat tetapi lokasi untuk sidang itu dibuat masih belum ditetapkan. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor