Apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan
mengalami masalah kesihatan hingga terpaksa dikejarkan ke hospital di
Istanbul, bukan penyokong partinya sahaja yang risau.
Sebaliknya ia turut menarik perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak yang segera menghubungi kedutaan Malaysia di Istanbul
untuk memastikan Abdul Hadi mendapat sokongan sepatutnya.
Jika perasan, rakan seperjuangan Abdul Hadi di peringkat tertinggi
pun belum tentu cakna dengan masalah kesihatannya sehingga berbuat
sesuatu seperti dilakukan Najib.
Kalau nak kata berpura-pura, ini bukan kali pertama Najib menunjukkan
keprihatinannya setiap kali pemimpin tinggi dari parti pembangkang
jatuh sakit.
Najib sebelum ini pernah melawat Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din di IJN pada 12 April lalu.
Najib juga sudah beberapa kali mengunjungi Mursyidul Am Pas, Datuk
Nik Abdul Aziz Nik Mat apabila beliau jatuh sakit termasuk ketika Najib
masih bergelar Timbalan Perdana Menteri dahulu.
Antaranya pada 24 Julai 2004 ketika Nik Aziz dimasukkan ke Unit
Kardiologi Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian,
Kelantan akibat serangan jantung.
Sumber: MYNEWSHUB.MY