Kalimah "Allah": Harussani Mohon Kerajaan Bertindak Tegas Pada Penghina Keputusan Mahkamah

Alor Setar, 25 Jun – Mufti Negeri Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menegaskan bahawa kerajaan harus bertindak tegas kepada golongan yang tidak menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan "The Herald" berkenaan penggunaan kalimah "Allah" baru-baru ini.

Harussani ketika dihubungi oleh KedahNews.com berkata, mana-mana pihak yang masih berdegil dan tidak mahu mematuhi keputusan tersebut seolah-olah tidak menghormati masyarakat Islam dan sengaja mahu mencetus provokasi yang mampu mengakibatkan konflik antara agama.

Merujuk mengenai keputusan yang telah ditetapkan oleh Ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sebelum ini, beliau menjelaskan bahawa kalimah "Allah" merupakan perkataan yang suci dan dikhususkan bagi agama dan  umat Islam, serta tidak boleh disamakan dengan agama lain.

“Perlembagaan negera telah memutuskan mengenai kalimah Allah hanya boleh digunakkan untuk umat Islam di negara ini dan telah dipersetujui oleh Muzakarah (Majlis Fatwa Kebangsaan).

“Oleh itu, undang-undang yang diputuskan ini tidak boleh diusik, sekiranya terdapat pihak yang melanggar undang-undang yang ditetapkan pihak kerajaan harus mengambil tindakan kepada mereka,” katanya kepada KedahNews.com.

Selain itu, Harussani juga memaklumkan bahawa ramai rakannya di luar negara telah menghubungi untuk bertanyakan pendapat sekiranya penganut Kristian bertindak untuk terus mencetus provokasi menggunakan kalimah "Allah" walaupun tidak dibenarkan oleh kerajaan.

Presiden Persatuan Kristian Malaysia (CFM), Reverand Dr Eu Hong Seng menegaskan mereka akan terus menggunakan kalimah "Allah" dalam Bible kerana Mahkamah Persekutuan hanya menolak permohanan akhbar The Herald sahaja.

Dr Eu berkata, pihaknya bebas menggunakan kalimah "Allah" tanpa halangan mana-mana pihak walaupun perlembagaan sudah memutuskan kalimah itu hanya untuk umat beragama Islam sahaja. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor