Tidak puas mengecam Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan kes berhubung penggunaan kalimah "Allah" sebagai "bodoh", sebuah NGO yang dikenali sebagai Lawyer for Liberty (LFL) hari ini meneruskan tindakan mengutuk keputusan tersebut.
LFL yang merupakan sebuah NGO yang dianggotai oleh para peguam yang kononnya memperjuangkan keadilan dan hak asasi manusia menyifatkan tindakan mengharamkan kalimah "Allah" untuk digunakan oleh golongan bukan Islam sebagai "kerja bodoh dan tidak berfaedah".
"Tak masuk akal nak haramkan sesuatu perkataan? Kerja bodoh dan tidak berfaedah", kata NGO itu yang dipetik dari laman sosial Twitternya hari ini.
LFL turut membandingkan keputusan Mahkamah Persekutuan itu dengan keadaan di Myanmar dan Sri Lanka di mana umat Islam di negara itu merupakan golongan minoriti dan harus menerima penindasan masyarakat beragama Buddha di sana.
"Kalau ikut logik hak majoriti, orang Islam minoriti di Myanmar & Sri Lanka harus terima penindasan majoriti Buddha?," persoal LFL lagi.
Perlembagaan Malaysia sebagaimana yang dipersetujui sejak awal merdeka telah ditetapkan untuk memberi hak dan keistimewaan pada agama Islam yang tidak boleh dipertikai oleh mana-mana pihak.
Berbanding dengan kerajaan Myanmar dan Sri Lanka, kedua-dua negara itu mempunyai perlembagaan masing-masing dan tidak memberikan keistimewaan kepada agama Islam sebagaimana di negara ini.
Semalam, Mahkamah Persekutuan sebulat suara menolak rayuan menolak rayuan Gereja Katolik berhubung keputusan
Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang melarang penggunaan kalimah Allah
dalam mingguan The Herald.
Keputusan tersebut disambut dengan penuh kesyukuran oleh majoriti umat Islam di Malaysia dan menganggap ia adalah "hadiah" terbaik sempena menjelang kehadiran bulan Ramadhan beberapa hari saja lagi.
LFL turut dianggotai oleh seorang peguam beragama Islam, Fadiah Nadwa Fikri, yang bertindakn sebagai peguam NGO tersebut dan dilihat begitu aktif setelah disokong beberapa pemimpin politik pembangkang seperti Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.